Sehubungan itu, Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamaed Nazri Abdul Aziz mengalu-alukan hasrat pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu bertanding di kawasannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata bekas exco kerajaan negeri Perak Datuk Hamidah Osman telah menyatakan minat untuk bertanding di Padang Rengas.
“Saya kata sesiapa yang nak bertanding di sini bagus, lebih baik Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di sini dan saya tunggu pilihan raya diadakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Mellenium Lubuk Merbau di sini hari ini.
Nazri berkata demikian sebagai mengulas ceramah Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi di Kota Lama Kiri, di sini yang mahu menjatuhkan UMNO di Padang Rengas dalam PRU14.
Dalam perkembangan lain, Nazri mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memilih beliau untuk bertanding di Padang Rengas sejak 22 tahun lalu.
“Saya pegang amanah Tun kerana dia kata UMNO parti yang boleh jaga negara, 22 tahun saya jadi wakil rakyat di sini sedangkan yang tukar parti adalah Tun,” katanya.
Mengenai perbahasan dengan Dr Mahathir, Nazri berkata beliau akan hadir ke program itu pada 7 April depan di Shah Alam, Selangor sebagai usaha mempertahankan UMNO.
“Saya tidak nampak apa halangannya untuk menganjurkan wacana ini kerana ia bukannya melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012,” ulang Nazri.
Perbahasan antara kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dijadual berlangsung semalam di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, namun dibatalkan kerana tidak mendapat permit polis.-MalaysiaGazette