Home Nasional Klinik Kesihatan Rantau baharu akan dibina

Klinik Kesihatan Rantau baharu akan dibina

Naib Presiden PKR, Dr. Lee Boon Chye berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kuala Sawah, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Rakyat di sini akan menerima Klinik Kesihatan baharu, tidak kisah sama ada Pakatan Harapan menang atau kalah pada PRK DUN Rantau.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, PH tetap akan melaksanakan tanggungjawab untuk menjamin kemudahan kesihatan yang terjamin untuk kualiti hidup masyarakat di Rantau.

“Saya telah melawat klinik kesihatan di Sendayan dan mendapati kemudahan kesihatan serba kekurangan dan tidak dapat menampung keperluan pesakit yang ramai dan sesak.

“Kita telah mengenalpasti tanah seluas lima ekar di Bandar Baru Sendayan yang mana Kementerian Kesihatan telah mengambil alih dan akan membina sebuah klinik baharu menggantikan klinik sedia ada yang serba kekurangan dan ia akan dibangunkan.

“Malah Dr. S. Streram semasa pertemuan sebelum ini membisik kepada saya mengenai masalah Klinik Kesihatan Rantau dan klinik berkenaan juga mempunyai kekurangan fasiliti dan akan diambil tindakan sewajarnya.. menang atau pun tidak, kedua-dua kemudahan itu akan diutamakan dan dilaksanakan segera,” katanya ketika berucap dalam ceramah PH di Kuala Sawah malam tadi.

Beberapa hari lepas, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan dua klinik baharu di Rantau dan Sendayan akan dibangunkan dengan kos bernilai RM70 juta.

Kedua dua tanah itu difahamkan diperolehi kerajaan dengan nilai masing-masing RM4 juta dan RM1.2 juta

Boon Chai yang juga Naib Presiden PKR mempersoalkan sumbangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada kaum bukan Melayu di Rantau dan Negeri Sembilan.

“Tiga penggal dia menjadi MB dan ADUN kawasan ini tetapi apa dia buat untuk masyarakat tempatan khsususnya bukan Melayu dan lebih baik dia tinggalkan parti.

“Malah UMNO kali ini tidak boleh dibenarkan menang di sini kerana ia akan kembali menguatkan parti itu yang begitu bersemangat dengan dua kemenangan lalu di Cameron Highlands dan Semenyih.

“Kemenangan itu menyebabkan mereka rasa seolah olah kerajaan ini dia punya (UMNO), jangan kita biarkan dia menang kali ini..kalau dia menang Bossku (Datuk Seri Najib Razak) akan kembali,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette