Home Nasional Hab STS: Johor akan minta nasihat perundangan

Hab STS: Johor akan minta nasihat perundangan

Gambar hiasan

JOHOR BHARU- Kerajaan negeri Johor akan meminta nasihat perundangan berhubung cadangan kerajaan persekutuan untuk membangunkan projek pemindahan kapal-ke-kapal (STS) di Selat Johor menghadap Tuas, Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang berkata, pihaknya akan membincangkan hal mengenai hak kedaulatan negeri dan implikasi undang-undang terhadap projek tersebut minggu depan.

“Penasihat undang-undang negeri akan turut hadir untuk memberikan pandangannya kepada kerajaan.

“Sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dibuat oleh Menteri Besar, Osman Sapian,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad pula berkata, hab pemindahan STS adalah sebuah projek yang boleh dilaksanakan.

“Kerajaan negeri tidak melihat sebarang masalah untuk menerimanya tetapi mereka memerlukan maklumat lanjut daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Kedua-dua kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Johor menegaskan projek berkenaan dilaksanakan di dalam kawasannya kerana ia terletak 3.5 batu nautika daripada pantai.

Pada Selasa lalu, Malaysia mengumumkan projek bernilai jutaan dolar Amerika itu bagi membolehkan kapal-kapal memindahkan kargo mereka ke kapal lain tanpa perlu berlabuh di pelabuhan.

Ini akan meningkatkan fleksibiliti perkapalan dan mengurangkan kos kepada syarikat.

Projek dengan anggaran kos di antara AS$180 juta sehingga AS$180 juta dolar itu merangkumi kawasan seluas 1,200 hektar atau tiga kali ganda saiz Pulau Sentosa di Singapura.

Menurut laporan The Edge Market sebelum ini, KA Petra selaku syarikat perkhidmatan maritim yang terlibat dalam projek itu berkata, ianya jatuh di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan kerana lokasi hab tersebut terletak lebih 3.5 batu nautika dari pesisir pantai.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditolak oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse pada Jumaat.- MalaysiaGazette