Home Nasional Terpulanglah kepada Ahmad Zahid

Terpulanglah kepada Ahmad Zahid

Aksi Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2019.

SEREMBAN – Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menerajui parti itu pada bila-bila masa sahaja.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, parti tersebut tidak meletakkan sebarang syarat kepada Ahmad Zahid untuk kembali memegang jawatan itu setelah nekad mengambil cuti daripada tugas.

“Terpulang kepada Zahid untuk kembali bertugas sebab dia yang bercuti. Kalau dia kata nak balik (ke jawatan Presiden) esok pagi, terpulang kepada beliau.

“Sebab terma-terma (Zahid bercuti) tidak ada. Kalau dia rasa sudah cukup rehat. Terpulang kepada beliau,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Ahmad Zahid kembali memegang jawatan Presiden.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak menetapkan tempoh masa sebelum kembali meneruskan tugas rasminya.

Beliau berkata, keputusannya untuk kembali aktif berpolitik tidak akan dibuat hanya disebabkan desakan akar umbi parti itu.

“Kalau saya menamatkan cuti adalah dengan tujuan untuk mengukuhkan parti, saya akan tamatkan. Kalau saya bercuti, parti akan terus kukuh, saya akan teruskan bercuti.

“Ertinya saya tidak ada timeline. Yang penting bukan soal desakan ahli akar umbi tetapi jika benar-benar saya diperlukan, perkhidmatan saya akan melata bila-bila masa saja,” katanya ketika bercakap dalam sesi townhall anjuran NGO Sedar semalam.

Pada Disember tahun lalu, bekas timbalan perdana menteri itu  mengumumkan bercuti daripada memegang jawatan Presiden UMNO dalam usaha menyelamatkan parti itu daripada krisis.

Ia susulan tindakan beberapa wakil rakyatnya yang meninggalkan parti itu. -MalaysiaGazette