Home Nasional Musa sindir bila kemanusiaan Palestin dicabuli

Musa sindir bila kemanusiaan Palestin dicabuli

Musa Hassan
Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menyindir segelintir pejuang hak asasi manusia yang berat sebelah dalam menentang pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang sedangkan mereka berkecuali apabila ia membabitkan orang Islam.

Musa juga berkata, lebih malang apabila mereka terus membisu dan berpeluk tubuh apabila tentera zionis Israel mencabuli kemanusiaan masyarakat Islam khususnya di Palestin yang berlarutan berpuluh tahun lamanya.

“Bila bercakap tentang hak asasi manusia, mereka menentang perbuatan atau regim yang melakukan kezaliman pembunuhan beramai-ramai.

“Yang hairannya apa yang dilakukan terhadap rakyat Palestin oleh regim zionis tidak pula dikutuk, malah disokong pula oleh negara-negara kuasa besar,” katanya ketika menciap di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Musa dipercayai merujuk kepada keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu yang menarik balik tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani perjanjian Statut Rom bagi menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama. – MalaysiaGazette