Home Utama PBAKL 2019: Pengunjung kurang tapi jualan meningkat

PBAKL 2019: Pengunjung kurang tapi jualan meningkat

Pelbagai tawaran dan potongan harga pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) 2019 berjaya merekodkan jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 1 juta sepanjang 10 hari bermula 29 Mac lalu.

Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi 1 Jawatankuasa Pengelola, Abd. Wahab Ibrahim bagaimanapun berkata, jumlah itu gagal mencapai sasaran pengunjung seramai 1.5 juta orang.

MGF07042019_Pesta Buku Kuala Lumpur_26
Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd. Wahab Ibrahim bercakap kepada media pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2019

Namun beliau menjelaskan, kehadiran yang kurang itu tidak menghalang nilai jualan buku meningkat pada tahun ini.

“Sasaran agak jauh untuk mencapai sasaran 1.5 juta kerana kami perlu merekodkan pengunjung 100,000 sehari.

“Namun Jumaat lepas baru melepasi jumlah itu dan semalam pengunjung seramai 132,000 sehari.

“Walaupun hanya mencatat jumlah pengunjung satu juta orang namun maklum balas daripada syarikat penerbit mengatakan jualan mereka ada yang dua kali berbanding tahun lalu.

“Jadi PBAKL 2019 kali berjaya menarik pengunjung berkualiti untuk membeli secara borong dan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

MGF07042019_Pesta Buku Kuala Lumpur_13
Sebahagian pengunjung yang hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2019

PBAKL 2019 akan berakhir hari ini dan rekod pengunjung pada tahun lalu adalah seramai 1.6 juta orang.

Mengulas penurunan jumlah pengunjung, Abd. Wahab memberitahu, waktu penganjuran tahun ini menjadi salah satu faktornya.

Beliau berkata, kebiasaan PBAKL dianjurkan pada akhir April hingga awal minggu pertama Mei setiap tahun.

Namun tahun ini diawalkan kerana menghormati bulan Ramadan yang dijangka pada awal bulan depan.

“Jadi tahun ini PBAKL 2019 tidak memiliki cuti umum seperti 1 Mei yang selalu merekodkan kehadiran pengunjung yang luar biasa.

“Apatah lagi ia dianjurkankan pada pertengahan cuti persekolahan yang ketika itu ibu bapa membawa anak-anak bercuti di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, PBAKL 2019 merupakan edisi ke-38 menempatkan 700 buah gerai melibatkan lebih 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Arab Saudi, Indonesia, Brunei dan Singapura. – MalaysiaGazette