SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan diangkat sebagai Presiden UMNO.
Ini kerana, terdapat individu dalam parti itu telah ‘membeli insurans’ daripadanya sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Kelapan.
Presiden PKR itu bagaimanapun tidak mendedah atau menamakan individu daripada UMNO yang dimaksudkan beliau.
“Itu telahan sayalah, pemahaman politik saya. Orang UMNO jumpa saya juga..inilah politik.
“Mereka pun fikir, kena baik-baik dengan Anwar. Lepas ini Anwar jadi perdana menteri, dia pun nak beli insurans (berbaik-baik),” katanya di hadapan kira kira-150 orang pengundi Melayu di Kampung Sega Hilir, Rantau hari ini.
Beliau berkata demikian dalam program bersantai makan tengahari bersempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, beliau juga menerima komen pengundi yang meragui kemampuan calon Pakatan Harapan Dr S. Streram untuk mengenepikan calon BN itu yang mendominasi kerusi selama tiga penggal.
“Orang tanya saya macam mana ini nak lawan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang sekarang ini pemangku Presiden UMNO.
“Saya dalam UMNO pun lama, saya pernah menjadi timbalan presiden, pemangku presiden, saya tak fikir Mat Hasan juga akan jadi presiden (UMNO),” ujarnya lagi.
Berbalik kepada isu perjumpaan orang UMNO dan ‘beli insurans’ dengan beliau, Ketua Jawatankuas Kaukus Parlimen itu meminta agar orang kampung tidak terbawa-bawa dengan karakter politik berkenaan.
“Kat bawah ini bukan main main lagi.. kita ini keturunan UMNO-Pas..yalah.. tetapi senyap-senyap kau datang berunding juga dengan aku..
“Jadi orang-orang kampung jangan terbawa-bawa juga. Kita di bawah ini beruap-uap, tapi di atas pakat-pakat.
“Siapa dia? Yang itu saya tak boleh cakap sebab orang itu yakin dengan saya, makna kata ia rahsia.
“Takkanlah saya nak bocorkan..minta maaf.. setakat itu cukuplah,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette