Home Nasional Guan Eng tidak jelaskan percanggahan penjualan bangunan Malaysia

Guan Eng tidak jelaskan percanggahan penjualan bangunan Malaysia

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Terdapat beberapa percanggahan berhubung penjualan bangunan konsulat Malaysia di Hong Kong, yang Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak perjelaskan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Guan Eng mesti menunjukkan laporan penilaian terkini yang menunjukkan harta itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM1.6 bilion.

Malah, Presiden MCA itu mahu Guan Eng menunjukkan tender yang jelas menyatakan harga rizab hartanah itu sebanyak RM1.6 bilion.

surat2

 

surat1
Surat tawaran daripada pembeli yang berminat untuk membeli bangunan Malaysia di Hong Kong.

“Tunjukkan perjanjian jualan dan pembelian akhir bangunan itu, termasuk syarat terperinci dengan deposit yang dibayar,” kata Ka Siong menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Guan Eng dalam kenyataannya berkata, Ka Siong perlu mengakui kekalahan dan meletakkan jawatan selepas didakwa khilangan perdebatan awam mengenai perkara itu.

Ka Siong, dakwa Guan Eng gagal membuktikannya bersalah bahawa tawaran konsulat itu adalah RM1.6 bilion, bukan HK $ 1.6 bilion.

Lantaran itu, Guan Eng mahu Ka Siong mengakui kesilapannya dan meletakkan jawatan. .

Membalas kenyataan itu, Ka Siong berkata: “Lim mempunyai masalah memahami keadaan yang saya telah tetapkan apabila saya mengemukakan isu tawaran tertinggi melalui tender terbuka untuk menjual bangunan milik Malaysia di Hong Kong”.

Semalam, Guan Eng berkata, kegagalan Ahli Parlimen Ayer Hitam menyahut cabaran tawaran harga pembelian Bangunan Malaysia di Hong Kong adalah setinggi RM 1.6 bilion dan bukannya HK$ 1.6 bilion membuktikan MCA menerima pakai budaya bohong, tipu dan fitnah UMNO dan PAS.

Katanya, pada 3 April lalu, Ka Siong telah mempersoalkan di Parlimen kenyataannya bahawa terdapat tawaran harga pembelian bangunan Bangunan Malaysia di Hong Kong yang lebih tinggi sehingga RM1.6 bilion berbanding dengan harga rundingan terus sebanyak RM1.1 bilion yang telah dipersetujukan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Sungguhpun menerima tawaran harga pembelian setinggi RM1.6 bilion, Guan Eng berkata, Kerajaan Pakatan Harapan mahu meneruskan penjualan bangunan ini secara tender terbuka dan bukanlah secara rundingan terus, agar dapat memperolehi harga lebih tinggi yang menguntungkan rakyat Malaysia.

Menteri Kewangan itu berkata, jelas sekali sistem rundingan terus ala BN merugikan rakyat Malaysia.

Kini proses penjualan secara tender terbuka sedang dijalankan.

Guan Eng mendakwa Ka Siong telah membuat fitnah dan tidak faham dengan perbezaan di antara RM dan HK$, kerana mendakwa harga tawaran yang diterima bukanlah RM1.6 bilion tetapi HK$1.6 bilion(RM830 juta) atau lebih rendah daripada harga rundingan terus RM1.1 bilion yang dipersetujui oleh BN.

“Wee telah mencabar saya letak jawatan sebagai Menteri Kewangan sekiranya tidak dapat membuktikan bahawa tawaran harga pembelian yang diterima oleh kerajaan PH ialah RM1.6 bilion dan bukannya HK$1.6 bilion.

“Saya telah menerima cabaran beliau dengan serta-merta dan meminta beliau letak jawatan sebagai Ahli Parlimen sekiranya saya dapat mendedahkan surat tawaran harga pembelian sebanyak RM1.6 bilion.

“Pada 5hb April saya telah mendedahkan sepucuk surat daripada Hong Kong yang menawarkan tawaran harga pembelian sebanyak RM1.68 bilion,” kata Guan Eng.

Menjawab perkara itu, Ka Siong berkata, Menteri Kewangan itu mempunyai masalah memahami keadaan yang beliau telah tetapkan apabila mengemukakan isu tawaran tertinggi melalui tender terbuka untuk menjual bangunan milik Malaysia di Hong Kong

“Jika dia tidak faham, dia boleh menyemak semula video mengenai apa yang saya katakan dalam Dewan Rakyat,” tambah Ka Siong..

Selasa lalu, kedua-duanya terlibat dalam hujah hangat di Parlimen, selepas Ka Siong berkata, penilaian harta itu telah dijalankan oleh pemain industri di Hong Kong yang menilai ia pada HK $ 1.6 bilion, dan bukan RM1.6 bilion yang telah didakwa oleh Guan Eng sebelum ini.

Surat tawaran itu tidak mengujakan Ka Siong kerana beliau mendakwa nilai sebenar hartanah itu hanya boleh dikenal pasti melalui laporan penilaian profesional, selain menyelar bahasa surat tawaran itu sangat teruk. – MalaysiaGazette

+ posts