KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri We Ka Siong hari ini mencabar Timbalan Menteri Pendidikan membuat kenyataan terbuka isu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau mahu Teo Nie Ching yang menyatakan calon SPM sama ada kali pertama atau ulangan layak mengambil satu mata pelajaran sahaja iaitu Bahasa Malaysia supaya merujuk kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
“Saya nak tanya timbalan menteri siapa dia buat perubahan dasar yang kata membenarkan LPM beri kelonggaran itu? Ia mengarut dan memesongkan dewan, tiada dalam laman web LPM,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN) itu mendakwa sesiapa sahaja mahu lulus SPM kena lulus enam matapelajaran teras termasuk kredit Bahasa Malaysia.
Selain itu, mata pelajaran Sejarah juga perlu lulus kerana berdasarkan keputusan kerajaan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 2013.
Ini bermakna jika seseorang pelajar tidak lulus mata pelajaran Sejarah maknanya dia tidak lulus SPM bukan sahaja untuk subjek Bahasa Malaysia, katanya.
“Hari ini saya dipersalahkan kononnya saya tak tahu, saya merujuk perkara ini dan membuat kajian termasuk mendapatkan maklumat daripada beberapa pengetua.
“Saya tahu apa yang saya buat,” katanya.
Beliau juga mengandaikan kenyataan itu dibuat kerana DAP telah ‘terperangkap’ dengan manifesto mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ka Siong yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan dalam soalan tambahannya di Dewan Rakyat menegaskan SPM bukanlah peperiksaan terbuka kerana pelajar kali pertama masih wajib mengambil enam mata pelajaran bagi melayakkan mereka menduduki peperiksaan itu.
Ka Siong mendakwa Nie Ching panik dan tidak mahu menjawab hujahannya hari ini.
Terdahulu, semasa sidang Dewan Rakyat, Nie Ching berkata, calon SPM sama ada kali pertama atau ulangan layak untuk mengambil satu mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun,ia perlu mendapat kelulusan daripada Pengarah LPM.
“Memang setakat ini kita mewajibkan untuk pendaftaran kali pertama pelajar yang menduduki SPM untuk mengambil enam mata pelajaran, tetapi setakat ini memang boleh mendapat kelulusan kalau membuat permohonan kepada LPM untuk mengambil satu mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia.
“(Perkara) ini memang dalam sistem sekarang telah diizinkan. Saya rasa hairan kenapa seorang mantan menteri tidak tahu bahawa sekarang LPM memang boleh mengizinkan seseorang untuk mengambil satu mata pelajaran sama ada SPM atau SPM ulang pada bulan Julai tapi perlu dpt kelulusan daripada LPM,” katanya membidas soalan tambahan Ka Siong.
Ka Siong kemudiannya meminta jawapan itu ditarik balik namun Nie Ching mempertahankan ia jawapan daripada LPM.
Kemudiannya, kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah (BN) yang mahu beliau mengulangi sama ada mereka yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia sahaja layak untuk menerima sijil SPM, Nie Ching tidak menjawabnya.
Semasa ditemui media di lobi Parlimen, Nie Ching memaklumkan akan merujuk isu yang sama kepada LPM semula.- MalaysiaGazette