SEPANG- Malaysia dan Singapura akan bekerjasama untuk membangunkan prosedur menggunakan kaedah instrumen GPS bagi Lapangan Terbang Seletar bagi menggantikan prosedur Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) yang digunakan selama ini.
Singapura telah menarik balik prosedur ILS Sabtu lalu.
Menurut Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, pihak berkuasa penerbangan awam dari kedua-dua negara sedang bekerjasama untuk merealisasikan perkara tersebut dan prosedur terbaharu itu dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Jelasnya, penggunaan kaedah instrumen GPS adalah lebih selamat kepada pesawat-pesawat yang menggunakan Lapangan Terbang Seletar.
“Kami akan memperkenalkan kaedah instrumen GPS dari Pasir Gudang dan juga pulau Singapura.
“Ini kerana pesawat-pesawat yang berlepas dan mendarat ke dalam angin.
“Dengan arah angin dari timur laut dan badart daya berubah-berubah sepanjang tahun, pendekatan instrumen GPS dari Pasir Gudang dan pulau Singapura diperlukan,” katanya semasa sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini hari ini.
Sabtu lalu, Boon Wan dan Anthony dalam satu kenyataan media bersama berkata, Singapura telah menarik semula prosedur ILS bagi Lapangan Terbang Seletar manakala Malaysia pula menggantung kawasan larangan (RA) melintasi Pasir Gudang atas semangat hubungan dua hala.
Perjanjian tersebut dilaksanakan oleh pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara malam Jumaat lalu sekali gus membolehkan syarikat penerbangan Firefly memulakan operasinya dari Seletar pada 21 April ini.
Dalam pada itu, Anthony menambah, Malindo Air juga telah menyatakan minat untuk beroperasi dari Lapangan Terbang Seletar.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony menegaskan Malaysia mahu mengambil semula kawalan ruang udara selatan Johor atas dasar kedaulatan negara dan sudah bersedia dari aspek-aspek tekikal untuk menguruskannya.
“Kami rasa selepas 45 tahun menyerahkan ruang udara tersebut untuk diuruskan Singapura, sudah tiba masanya untuk kita menilai semula perjanjian berkenaan.
“Kami juga telah bersedia dari segi teknikal, kami telah melabur banyak wang sejak beberapa tahun lalu untuk memiliki peralatan-peralatan yang diperlukan.
“Kami juga sedang membina sebuah pusat kawalan udara Kuala Lumpur yang baharu, dengan kemudahan dan kemampuan teknikal, saya rasa kami sudah bersedia untuk menguruskannya sendiri,” katanya.
Di pihak Singapura pula, Boon Kaw memberi jaminan rundingan berhubung pertikaian ruang udara itu akan dijalankan dengan muhibbah dan berkompromi bagi memastikan penyelesaian menang-menang yang tidak mengorbankan kepentingan mana-mana pihak boleh dicapai.
“Saya telah menjelaskan kepada Menteri Lok bahawa perjanjian sekarang diusahakan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) semasa Mesyuarat Navigasi Udara Serantau pada 1973.
“Ia telah pun dipersetujui oleh negeri di dalam rantau ini dan diluluskan oleh Majlis ICAO.
“Bagaimanapun, Menteri Loke menegaskan semakan semula itu sangat penting kepada Malaysia dan saya memberi jaminan kepada beliau bahawa Singapura akan menggunakan pendekatan minda terbuka.
“Namun, perlu diingatkan, banyak pihak berkepentingan terlibat di dalam isu ini dan apa yang paling penting adalah memastikan keselamatan dan keberkesanan dalam (menguruskan) ruang udara yang sangat sibuk ini.
“Saya sendiri secara peribadi mempunyai beberapa idea bagaimana kita hendak menguruskan ruang udara tersebut,” ujarnya.
Dengan itu, sebuah jawatankuasa paras tinggi telah ditubuhkan untuk menyemak semula perjanjian ruang udara sedia ada yang mana pengawal trafik udara Singapura menguruskan ruang udara selatan Johor.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Pengangkutan Singapura dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Malaysia-Singapura tamatkan pertikaian ruang udara
Malaysia minta Singapura ubah laluan penerbangan dari selatan