KUALA LUMPUR – Pembaharuan semula bandar agar ia menjadi lebih berdaya laksana dan berkesan akan digubal menerusi pelaksanaan perundangan khusus .
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ketika ini usaha membangunkan semula bandar hanya berlandaskan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
“Panduan pelaksanaan ini disediakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada menerusi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), merangkumi empat kategori iaitu pembangunan semula bandar, pemulihan bandar, pemeliharaan bandar dan penyegaran bandar.
“Pembaharuan semula bandar ditafsirkan sebagai suatu program menyeluruh dan bersepadu untuk jangka panjang bagi menangani isu kemelesetan ekonomi, keusangan fizikal, terbengkalai, usang, kawasan ‘brownfield’ (zon pernah dibangunkan tetapi diabaikan) dan tidak ekonomik,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang baharu berhubung pembangunan semula bangunan lama oleh pihak swasta seperti dilaksanakan Hong Kong dan Singapura.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) mengenai pemberian rumah percuma kepada penduduk asal sesebuah kawasan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan menerusi pelaksanaan subsidi silang, Khalid berkata, dasar sedemikian akan tetap diteruskan. – MalaysiaGazette