KUALA LUMPUR – Trend kejatuhan import bagi barangan kepenggunaan Malaysia amat menakutkan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Ini kerana, kejatuhan bulan ke bulan untuk barangan import telah berlaku tiga bulan berturut-turut dan trendnya bertambah kuat.
Pada bulan Disember ia susut 0.8 peratus, Januari (1.0 peratus) dan Februari (11.6 peratus).
“Eksport untuk bulan Februari jatuh 5.3% iaitu pada kadar diluar jangkaan kepada nilai terendah semenjak Ogos 2016.
“Walaupun berita eksport itu menakutkan tetapi apa yang lebih seram ialah kejatuhan import sebanyak 9.4%. Itu pun bukan yang paling menakutkan.
“Lagi parah lagi ialah import untuk kategori barangan tahan lama yang jatuh 26.8% lagi dalam bulan Februari setelah jatuh 18.5% bulan Disember lalu.” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bekas perdana menteri itu berkata, kategori barangan tahan lama bermaksud barang-barang seperti perkakas elektronik (komputer, telefon bimbit, peti sejuk, TV), perabot, perhiasan rumah dan sebagainya.
Beliau berkata, pada kebiasaannya permintaan untuk barangan tersebut adalah penanda kepada keyakinan dan daya membeli rakyat biasa.
“Jika rakyat tidak yakin dengan keadaan ekonomi atau tidak ada wang lebihan, mereka tidak akan membeli barangan dalam kategori ini.
“Saya juga lihat laporan dari Retail Group Malaysia yang melaporkan bahawa kadar pertumbuhan jualan runcit pada suku terakhir tahun 2018 adalah lebih rendah berbanding pada tempoh yang sama tahun 2017 walaupun SST telah menggantikan GST.
“Retail Group Malaysia juga melaporkan bahawa penjualan untuk kategori pasar raya dan hypermarket telah susut 5% untuk tahun lepas dan kadar susustan dijangka bertambah teruk kepada 7.6% pada suku pertama tahun 2019.
“Rangkuman dari semua laporan ini ialah rakyat biasa sedang menghadapi tekanan keadaan ekonomi dan daya beli yang semakin merosot pada masa ini,” ujarnya sambil memberitahu trend juga menunjukkan tekanan ini sedang semakin bertambah teruk.
Ini bermakna, tekanan dari segi modal ekonomi merosot selepas PRU14 semakin beralih kepada ekonomi rakyat.
Pendek kata: jika tahun lepas susah, tahun ini bertambah susah lagi, tambahnya. – MalaysiaGazette