Home Nasional Guan Eng, tunjukkan laporan penilaian hartanah, surat tawaran – Ka Siong

Guan Eng, tunjukkan laporan penilaian hartanah, surat tawaran – Ka Siong

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap ketika sesi sidang media media semasa hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang masih belum berpuas hati berhubung penjualan bangunan konsulat negara di Hong Kong sekali lagi mencabar Lim Guan Eng untuk mendedahkan laporan penilaian hartanah yang menyatakan harga pasaran semasa aset itu adalah RM1.6 bilion atau HKD3.2 bilion.

Beliau juga menuntut Menteri Kewangan itu menunjukkan surat tawaran jelas menyatakan harga rizab ialah RM1.6 bilion dan Perjanjian jual-beli termasuk perincian dan resit deposit.

Presiden MCA tetap mempertahankan bahawa surat yang menyatakan Kementerian Kewangan sudah menerima surat daripada pembeli yang berminat hanyalah surat tunjuk minat pembeli yang ingin membeli hartanah itu pada harga RM1.6 bilion.

“Apa yang ditunjukkan oleh Guan Eng itu bukanlah bukti kukuh atau surat tawaran rasmi.

“Ini kerana, sekiranya mana-mana pembeli berminat untuk menyertai proses tender terbuka, mereka perlu mengikut prosedur dengan membayar deposit sekurang-kurangnya 10% dari harga jualan atau 1% ke 2% wang jaminan (earnest deposit).

“Sekiranya Guan Eng mahu membuktikan ia sebagai surat tawaran, beliau juga sepatutnya menunjukkan bukti pembayaran deposit 10% atau 1% ke 2% wang jaminan,” katanya.

Sebaliknya, dakwa Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, Guan Eng terpaksa menunjukkan surat tunjuk minat tersebut bagi menutup malu serta mengelirukan orang ramai.

“Keahlian akauntan sementara (provisional) tidak sama tarafnya dengan akauntan profesional.

“Dengan menunjukkan surat minat untuk mendapatkan bangunan tersebut dengan harga RM1.6 bilion tidak bermaksud harga pemula bidaan yang ditetapkan dalam tender terbuka adalah RM1.6 bilion,” katanya.

Hari ini, Guan Eng berkata, tidak ada pembayaran deposit bagi penjualan Banguna Konsulat itu.

Ini kerana, katanya, penjualan itu dibuat secara tender terbuka dan kerajaan masih menunggu tawaran tertinggi berbanding RM1.68 bilion yang ditawarkan sekarang.

“Kami tidak ambil deposit kerana masih menunggu tawaran lebih tinggi,” katanya sambil mempertahankan harga RM1.68 bilion adalah lebih tinggi sebanyak RM500 juta berbanding tender RM1.1 bilion oleh kerajaan terdahulu. – MalaysiaGazette