Home Politik DAP tolak konsep ada parti ‘abang sulung’ dalam PH

DAP tolak konsep ada parti ‘abang sulung’ dalam PH

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – DAP menolak cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya parti dominan kaum Melayu mengetuai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) untuk melawan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menegur Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dengan mengatakan PH tidak mempunyai mana-mana parti yang dominan dan menegaskan tiada konsep ‘abang sulung’ atau ‘adik bongsu’ dalam parti pembangkang.

“Tiada abang sulung atau adik bongsu dalam PH. Kita gabungan politik yang ada parti ada kekuatan sama. Tiada yang dominan,” kata Loke dalam sidang media di Parlimen pagi ini.

Anthony berkata perkara itu membezakan antara PH dengan BN dan mereka tidak berhasrat untuk meniru pendekatan sama seperti BN.

“Itu perbezaan ketara antara PH dan BN, bukan kita nak tiru pendekatan BN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Loke juga membidas Muhyiddin yang seolah-olah cuba membawa cara UMNO dalam PH kerana hakikatnya kekuatan parti dalam PH adalah sama rata dan saling memerlukan.

“Apa yang buat PH kuat adalah kerana kita parti yang sama kuat dan peranan sama rata.

“Rakyat Malaysia tak mahu wujud lagi satu UMNO dalam PH. Kami terbuka untuk sebarang cadangan. Tak semua cadangan PPBM akan kita setuju,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ceramahnya di Kota Kiri, Padang Rengas, pada Sabtu lalu mencadangkan supaya PH dipelopori oleh parti yang berteraskan Melayu bagi mewujudkan keyakinan rakyat untuk melawan BN.

Kata Muhyiddin, gerakan yang akan dipelopori oleh pembangkang mestilah organisasi yang diketuai Melayu, majoritinya Melayu tetapi parti-parti lain yang bergabung dalam PH akan menjadi sebahagian daripadanya.

Muhyiddin juga mencadangkan gabungan pembangkang dinamakan “Barisan Rakyat” bagi menentang BN.- MalaysiaGazette.