Home Nasional Osman Sapian perlu lepas jawatan secara terhormat

Osman Sapian perlu lepas jawatan secara terhormat

Datuk Osman Sapian

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian perlu mengambil langkah berjiwa besar melepaskan jawatannya dengan cara terhormat, jika benar spekulasi kencang yang menyatakan beliau akan ditukar.

Dalam satu kenyataan Dewan Muda Johor (DMJ) berkata, cara itu adalah lebih baik dan terpuji daripada beliau membiarkan negeri Johor terus diheret dalam kancah politik dalaman yang sememangnya bakal merugikan.

“Spekulasi Johor bakal mendapat Menteri Besar yang baharu pastinya menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.

“Malah, ia bakal memberikan imej tidak baik terhadap negeri dan menimbulkan kebimbangan kepada pelabur untuk melabur di Johor.

“DMJ juga melihat kemelut baharu itu ada kaitan dengan krisis kesepakatan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) dan setiap parti sudah tentu bercita-cita untuk meletakkan calon mereka sebagai Menteri Besar.

“Ini bukan satu situasi yang baik kerana secara tidak langsung boleh menyebabkan Menteri Besar sedia ada seolah-olah tidak mendapat sokongan bagi menumpukan usaha memajukan rakyat dan negeri ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, DMJ percaya bahawa sebuah kerajaan negeri yang baik pastinya mempunyai kesepakatan baik.

Ia juga perlu mempunyai tanggapan saling mempercayai dan paling penting tidak mempunyai agenda politik tertentu dengan dipimpin ketua yang dihormati.

Bagaimanapun DMJ berkata, apa yang berlaku di Johor sejak diambil alih kerajaan PH telah memperlihatkan Menteri Besar mentadbir negeri itu berseorangan tanpa sokongan dan dokongan daripada barisan Exco serta wakil rakyat blok kerajaan sendiri.

“Bermula defisit kepercayaan terhadap kejujuran kelayakan akademik sehingga caranya menguruskan bencana toksik di Sungai Kim Kim dan kemuncaknya lawatan ke Batam, Indonesia meninggalkan rakyat di Pasir Gudang.

“Ia bukti jelas, kerajaan negeri Johor pada hari ini rapuh dan hilang identiti pemimpin yang memimpin dan situasi itu pastinya sesuatu yang tidak sihat untuk kestabilan dan kemakmuran rakyat dan negeri ini.

“Jadi, desakan serta saranan bahawa Menteri Besar Johor ditukar atau dirombak dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan adalah sesuatu yang tentunya tidak memeranjatkan kita,” ujar kenyataan itu.

Justeru, DMJ menegaskan daripada terus berspekulasi serta mengambil kira imej beliau yang sudah tercalar, adalah lebih baik Menteri Besar Johor berjiwa besar melepaskan jawatan dengan cara terhormat.

“Kepada rakyat Johor, DMJ mengajak semua bersama-sama mendoakan yang terbaik dan menyokong segala tindakan serta jalan yang terbaik untuk negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette