Home Politik Perangi rasuah, bukan perang sesama sendiri – Ezam

Perangi rasuah, bukan perang sesama sendiri – Ezam

Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Pengerusi HISBAH Centre, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengesa semua parti politik pembangkang agar tidak menyerang sesama sendiri, sebaliknya bersatu hati dalam memperjuangkan usaha memerangi rasuah di negara ini.

Bekas senator itu berkata, perkembangan terkini dalam gabungan pembangkang tidak tidak membantu dalam perjuangan memerangi rasuah yang padanya semakin parah hari ini.

“Dalam kesibukan (Datuk Seri) Najib dan gerombolan penyamun dan perasuah terus memunggah dan menyamun khazanah negara, kita juga melihat pimpinan politik yang berjuang melawan pemerintahan Najib semakin hebat bertelagah.

“Sebagai sebuah parti yang menjuruskan perhatian kepada masalah rasuah dan salahguna kuasa, kami merasakan keperluan mengingatkan sahabat seperjuangan di dalam parti-parti Pakatan Harapan dan juga PAS untuk kembali menumpukan kepada isu paling pokok di dalam negara kita hari ini yakni memerangi perasuah tegar di dalam pentadbiran negara hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, sebagai bakal peneraju Parti Bebas Rasuah, Mohd. Ezam meminta agar rakyat dan negara ini terus berjuang dan serius dalam membebaskan negara dan rakyat dari belenggu rasuah.

“Kami sebagai sebuah parti kecil dengan tumpuan khusus kepada isu rasuah ini mengharapkan pemimpin dan parti besar yang seperjuangan menghentikan perbalahan sesama sendiri.

“Ini kerana pada pengamatan dan hemat kami didalam Parti Bebas Rasuah ini tidak ada parti didalam Pakatan Harapan (PH) dan Pas yang tergolong di dalam pengamal rasuah tegar sepertimana didalam pimpinan dan parti UMNO dan BN,” katanya lagi.

Ezam sebelum ini berkata partinya mahu menyertai PH bagi melengkapkan apa sahaja kelemahan gabungan itu.

Malah hanya akan bertanding di dua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Parti Bebas Rasuah bagaimanapun masih belum didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan dan dijangka akan berbuat demikian dalam waktu terdekat ini. -MalaysiaGazette.