Home Utama Jadilah awet muda seperti saya – Teresa Kok

Jadilah awet muda seperti saya – Teresa Kok

Teresa Kok
Teresa Kok. foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Jika anda inginkan kesihatan yang lebih baik serta kecantikan asli antaranya ‘awet muda’, minyak sawit merah mampu membantu anda, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Malah kata Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, seandainya mahu sentiasa kekal awet muda, pengambilan minyak sawit merah yang kaya dengan mikronutrien yang larut dalam lemak seperti karotenoid (termasuk pro-vitamin A) juga  vitamin D, E dan K dalam membantu mencapai matlamat itu.

“Semua (wakil rakyat) akan diberikan minyak sawit merah secara percuma hari ini di Parlimen, semua akan dapat menikmati kelazatan minyak sawit merah ini.

“Semua akan jadi ‘awet muda’ seperti Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri, seperti Yang di-Pertua dan juga saya,” katanya ketika sesi soalan lisan ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.

Sesi Dewan gamat seketika apabila Teresa secara bersahaja dan berseloroh pada masa sama mempromosi minyak sawit merah serta kebaikannya kepada wakil rakyat.

Ahli Parlimen Bera (BN), Datuk Seri Ismail Sabri juga bangkit dan meminta Teresa untuk perbanyakan meminum minyak sawit merah supaya kekal awet muda.

Beliau bercakap demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau (PH), Steven Choong Shiau Yoon tentang rancangan kerajaan untuk menggantikan tanaman kelapa sawit kepada buah-buahan yang boleh dieksport kepada negara lain memandangkan sawit berada dalam keadaan bekalan melebihi permintaan.

Sementara itu, Teresa berkata, bagi mengurangkan tahap kebergantungan negara terhadap sawit khasnya ketika harganya menurun, antara rancangan terbaik bagi pekebun kecil adalah melaksanakan integrasi tanaman dengan ternakan.

Jelas Teresa, pelbagai tanaman bernilai yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa telah dikenalpasti seperti nenas, tembikai, pisang dan betik.

“Pelbagai tanaman boleh ditanam jangka pendek dan panjang. Bagi jangka pendek, antara tanaman integrasi adalah pisang, betik dan nenas.

“Tanaman buah salak pula lebih sesuai untuk tanaman jangka sederhana. Bagi tanaman getah pepagar pula, integrasi tanaman seperti durian, belimbing besi, durian belanda dan cempedak boleh dilaksanakan, juga ternakan lebah serta kelulut juga berpotensi,” ujarnya. – MalaysiaGazette