Home Nasional Saya bukan juri atau hakim – Azhar Azizan

Saya bukan juri atau hakim – Azhar Azizan

Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap kepada media selepas meninjau pusat pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Balai Polis Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2019.

SEREMBAN – “Habis itu.. saya bukan hakim, saya bukan juri..saya pun tidak ada kuasa siasatan, kamu kena faham benda itu”.

Itu reaksi Azhar Azizan Harun yang ditanya wartawan mengenai ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Setiausaha Agung DAP yang mengumumkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memasuki Negeri Sembilan dan meminta menyokong PH sekiranya mahu berita lebih gembira.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu yang ditanya samada terdapat keperluan kerajaan tampil menjelaskan ia bukan strategi meraih undi berkata, sudah pasti pengumuman itu tidak akan dilakukan jika terdapat unsur memancing undi.

Bagaimanapun, tambah beliau, apa yang penting ialah mereka yang merasakan ia adalah satu kesalahan dan mempunyai maklumat maka mereka perlu membuat laporan polis atau aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dilakukan dan Peguam Negara membawanya ke mahkamah.

Ditanya apakah perlu menunggu sehingga mahkamah memutuskan keputusan kes tersebut, Azhar yang seolah tidak puas hati berkata, beliau bukan juri atau hakim untuk mengumumkannya.

“Saya tidak ada kuasa siasatan, kamu kena faham benda itu…saya tidak boleh kata sewenang-wenangnya.

“Kalau saya ada kuasa saya akan cakap, siapa yang ada kuasa sekarang? Kuasanya di tangan rakyat dan pengundi kalau ada masalah difikirkan tidak sesuai maka yang mempunyai makumat sila buat laporan.

“Kita kena faham apa fungsi SPR iaitu mengorganisasikan serta mengawal agar aman semua supaya proses pemilihan diadakan sehingga selesai,” katanya selepas melawat Balai Polis Rantau untuk meninjau proses undi awal melibatkan 36 anggota polis pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Dr. Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, jika ia melibatkan jenis kesalahan pilihan raya, pihaknya mengambil inisiatif mengingatkan calon supaya mematuhi undang-undang kesalahan pilihan raya

“Dan sekarang oleh kerana telah ada kesedaran lebih tinggi, maka kita kena mengambil selangkah lagi sesiapa ada maklumat atau kadang-kadang pemberita yang ada maklumat selain memproses berita sila buat laporan kalau difikirkan salah,” ujanya sambil menambah ia penting supaya perkara ini boleh dibawa ke mahkamah. – MalaysiaGazette