Home Utama Bank jangan anggap peminjam macam ‘penjenayah’

Bank jangan anggap peminjam macam ‘penjenayah’

Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif.

KUALA LUMPUR – Bank-bank di negara ini jangan anggap dan layan peminjam bermasalah sebagai penjenayah.

Itu tegas Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Arif.

“Bank kena prihatin kepada peminjam, kena ada kasihan dan beri ruang..panggil mereka bincang. Jangan anggap setiap orang yang tak bayar itu penjenayah,” ujarnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Menurut Rosland, pihak bank juga kena bersikap lapang dada dan sedia berunding.

Contoh, katanya, jika peminjam bermasalah ada hutang RM30,000 jangan minta membayarnya penuh serta merta tetapi memberi mereka tempoh.

Apa yang penting, katanya, bank mendapat wang mereka kembali dan peminjam tidak ditimpa masalah.

“Contoh 4PM terima aduan baru-baru ini ada peminjam mendakwa rumahnya dilelong tanpa pengetahuan mereka. Bayangkan, rumah nilai RM3 juta tetapi dilelong RM1 juta sahaja,” tegasnya.

Menurut Rosland, banyak perkara yang dilakukan oleh pihak bank tidak masuk akal dan 4PM kecewa dengan perkembangan ini.

“Ada seorang usahawan mengadu rumah dilelong tiga kali oleh bank tetapi dua daripada dia sendiri tidak diberitahu

“Tahu-tahu bila satu hari selepas dilelong, pembida datang dan halau dia dari rumah dan ini berlaku di Malaysia,” katanya.

Pembida pun, katanya tidak mengetahui peraturan pemilik rumah lelong masih ada 120 hari lagi untuk membuat bantahan kepada bank.

“Jadi saya lihat bank di Malaysia ini buat kerja tidak masuk akal. Rumah nilai tinggi dijual rendah tak ikut harga pasaran dan senang-senang nak bankrap peminjam yang sepatutnya panggil berbincang dahulu.

“Sampai bila bank terus mahu buat kerja keji seperti ini,” ujarnya.

Tambahan pula, katanya, dalam ekonomi meleset sekarang, pihak bank sepatutnya memberi ruang kepada peminjam.

Menurut Rosland, pihaknya tidak menyalahkan bank tetapi sesetengah staf bank yang didakwanya membuat peraturan mengikut kepala mereka sendiri.-MalaysiaGazette