Home Utama Lebih baik jika empat ahli akademik tampil beri penjelasan – Anwar

Lebih baik jika empat ahli akademik tampil beri penjelasan – Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Empat ahli akademik yang membuat rumusan eksekutif mengenai Statut Rom sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini sebaiknya tampil memberikan penjelasan daripada membiarkan isu tersebut menjadi polemik.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah lebih sihat  jika penjelasan itu dibuat dalam satu sesi wacana bagi membolehkan keempat-empat ahli akademik itu menjawab apa yang dibangkitkan.

“Kena ada wacana yang sihat, ada sesi soal jawab, biar ahli-ahli akademik itu jawab dan beri penjelasan. Tak apa, biar selesai dan bincang baik-baik.

“Jalan terbaik sebenarnya berbincang elok-elok, kajian ini telah menjadi polemik beberapa pihak jadi kena bincang dan beri pandangan serta penjelasan dengan baik sekali,” katanya kepada pemberita di lobi sebentar tadi.

Sebelum ini, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.

Malah Asheeq Ali mempersoalkan mengapakah kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh umum.

Dakwa gabungan itu lagi, kajian itu juga bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Empat ahli akademik yang melakukan kajian itu termasuk Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Dua lagi pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching membuat kenyataan pihaknya sedang membincangkan kedudukan empat ahli akademik yang menjalankan kajian berhubung perjanjian itu.

Namun demikian, Nie Ching menarik balik kenyataan itu dengan mengatakan ianya telah dilaporkan secara salah media. –MalaysiaGazette