PILIHAN Raya Kecil (PRK) DUN Rantau yang akan diadakan pada 13 April ini.
PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hassan, calon PKR, Dr Streram dan dua lagi calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan pensyarah, Mohd Nor Yassin.
Dalam pada itu, tempoh berkempen bagi keempat-empat calon ini hanya berbaki lagi empat hari sahaja.
Dalam tempoh berkempen pastinya setiap parti akan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang ini sebagai platform utama untuk mendapatkan sokongan dan dorongan rakyat di Rantau.
Calon PKR, Dr Streram ada melahirkan rasa keinginannya untuk melihat Tun Dr Mahathir Mohamad turun membantunya
berkempen di PKR Rantau.
Tetapi kita tidak pasti sama ada baki empat hari ini mampukah hajat Dr Streram ditunaikan oleh Dr Mahathir.
Namun, apa yang pasti sepanjang tempoh berkempen ini, jelas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir dan pemimpin tertinggi PPBM masih tidak menunjukkan muka sehingga ke hari ini.
Malah Muhyiddin Yassin juga dikhabarkan sehingga kini masih belum turun berkempen.
Keadaan ini jelas berbeza semasa kempen di Semenyih tempoh hari di mana boleh dikatakan hampir setiap hari Dr Mahathir dan barisan tertinggi PPBM berkampung di Semenyih untuk membantu Aiman Zainali berkempen.
Pada ketika itu juga, barisan tertinggi PKR, Anwar Ibrahim turut sama-sama membantu Aiman Zainali berkempen.
Adakah Dr Mahathir dan pemimpin tertinggi PPBM cuba memboikot kempen PRK Rantau?
Sedangkan Anwar Ibrahim boleh turun berkempen untuk membantu calon PPBM berkempen di PRK Semenyih tempoh hari, kenapa tidak Dr Mahathir melakukan perkara yang sama?
Dalam pada itu, Dr Streram melahirkan harapan tinggi kepada Dr Mahathir untuk membantu dirinya berkempen, keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa calon Pakatan Harapan itu sedang buntu untuk mencari jalan memenangi hati rakyat di Rantau.
Jika tidak kenapa sehingga hari ini, Dr Streram masih mengharapkan ‘talian hayat’ daripada Putrajaya untuk membantu dirinya berkempen?
Apa-apapun berbaki empat hari ini sama-samalah kita tunggu dan lihat sahaja sama ada Dr Mahathir mendengar suara hati Dr Streram ataupun tidak.
Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor