SHAH ALAM – Prosiding inkeus kematian Muhammad Adib Mohd Kassim disambung esok selepas seorang bekas Pakar Forensik memberi keterangan memberi keterangan menerusi pembentangan yang menunjukkan anggota bomba yang meninggal dunia pada 17 Desember lalu disebabkan perbuatan manusia.
Sepatutnya petang ini giliran Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah mengajukan soalan kepada Profesor Dr Shahrom Abd Wahid yang telah menilai kecederaan allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang dialami pada malam rusuhan 27 November lalu.
Jelas Hamdan, butiran keterangan Shahrom perlu ditelitinya terlebih dahulu sebelum prosiding diteruskan.
“Saya mohon disambung dengan soalan saya pada esok, saya mahu meneliti slide show (pembentangan) ini dahulu, kerana baru dapat pagi ini,” katanya kepada Hakim Rofiah Mohamad yang kemudiannya memberi persetujuan.
Shahrom merupakan bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang dirujuk oleh peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor kerana wujud keraguan dalam lakonan semula Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai penyiasat serta pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sebelum ini.
Sebelum ini Syazlin memaklumkan Mahkamah Koroner akan memanggil dua saksi tambahan yang terdiri daripada pakar untuk memberi keterangan mengenai punca kematian Muhammad Adib semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.
Keterangan yang diberikan oleh bekas Pakar Forensik HUKM itu pada hari ini bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menjalankan bedah siasat ke atas Muhammad Adib sebelum ini.
Ahmad Hafizam sebelum ini berkata kecederaan Muhammad Adib tidak menunjukkan anggota bomba itu dipukul dan mempercayai dia turun sendiri tanpa ditarik. – MalaysiaGazette