KUALA LUMPUR – Perkataan ‘Persekutuan’ dalam Artikel 160 Perlembagaan Malaysia adalah salah dan bertentangan dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana bermaksud Persekutuan ‘Malaya’ dan bukan ‘Malaysia’.
Ia antara punca kenapa Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mahu mengundi atau abstain daripada mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan semalam.
Ketua Penerangan Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Datuk Idris Buang berkata, definisi ‘Persekutuan’ yang sedia ada salah itu harus dipinda sekali.
“Ia juga kerana RUU tersebut tidak memberi apa-apa manafaat kerana ia langsung tidak menunjuk dan memperakukan kedudukan atau status Sabah dan Sarawak sebagai equal partner atau equal party kepada MA63.
“Pendek kata RUU tersebut adalah tidak lengkap, terlalu mentah dan kosong tanpa isi atau intipati yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak dan Sabah sebenarnya,” katanya dalam kenyataan.
Untuk semakan definisi “Persekutuan” yang sedia ada dalam Perlembagaan Malaysia, Artikel 160: ‘Persekutuan’ ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Menurut Idris, apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam seperti ‘melepas batuk di tangga’ dan dibuat atas dorongan nafsu politik Pakatan Harapan (PH) dan boleh dianggap satu helah politik semata-mata ( a mere political ploy).
Menurutnya, jika RUU tersebut diluluskan, ia tidak langsung membawa apa-apa makna atau manafaat daripada segi status equal partner dan lain lain lagi.
“Ia hanya menambah kekeliruan rakyat. Para Ahli Parlimen GPS dan Ahli parlimen pembangkang yang lain.
Katanya, oleh kerana usaha kerajaan PH dalam membentang RUU ini ternyata tidak telus, tidak tulus dan tidak ikhlas terhadap rakyat Sarawak dan Sabah maka ia tidak diundi oleh Ahli Parlimen GPS. – MalaysiaGazette