RANTAU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau dinasihatkan oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak agar lebih berhati-hati dalam kempen PRK.
Katanya, siri kempen yang berbaki 3 hari lagi memungkinkan pihak lawan akan menggunakan pelbagai taktik dan cara bagi memastikan beliau tidak dapat mempertahankan kerusi Rantau.
“Saya tidak ada bincang apa-apa, dia suruh saya berhati-hati, dia tidak cakap pun mengenai isu 9 yang akan dibangkitkan oleh PH.
“Banyak yang akan dikeluarkan semasa PRK ini terutamanya di peringat akhir, satu-satu sudah keluar. Tapi semuanya hanya peluru kapur sahaja,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN hari ini.
Mohamad mengulas mengenai kenyataan Najib semalam yang meminta beliau agar terus berhati-hati kerana ada usaha bertujuan untuk ‘membunuh karakternya’.
Menurut Najib, beliau mendapat maklumat bahawa pihak lawan telah menyenaraikan beberapa isu peribadi ke atas calon BN itu.
Lantaran itu, Najib berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada Tok Mad dengan menghubungi beliau.
“Saya sudah tahu dia kena serang, saya telefon dia.
“Saya kata kepada dia PH ada 9 isu nak ‘tembak’ (serang) Tok Mad. Saya sudah dapat info, betul lah,” katanya di Kampung Kanchong, Rantau, semalam.
Dalam perbualan itu, Najib memberitahu beliau bahawa PH akan terus menyerang beliau walaupun di luar PRK.
“‘PH will look after my head. Biasalah dah dalam pilihan raya,” katanya lagi.
Dalam siri kempen PRK DUN Rantau, PH telah banyak membangkitkan tentang kekayaan Mohamad antaranya memiliki rumah banglo berkonsepkan Minangkabau bernilai RM6 juta di Seremban 2.
Malah, pemindahan dana sebanyak RM10 juta ke London pada 2009 melalui pengurup wang bagi tujuan pembelian pangsapuri turut dibangkitkan semula. -MalaysiaGazette