PRK RANTAU – Kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Rantau Jumaat ini dijangka memberi kesan yang tinggi dalam membantu Pakatan Harapan meraih undi penting dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN N27 itu.
Calon PH, Dr S. Streram yang menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin hebat itu percaya, kemunculan pengerusi PH tersebut kelak menjadi final push buat para pengundi untuk membuat keputusan parti manakah yang menjadi pilihan Sabtu ini.
Malah, Streram juga yakin selain Dr Mahathir, kehadiran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli malam ini mampu mempengaruhi pengundi untuk memilih PH.
“Rafizi kawan baik saya dan dia ada strategi sendiri yang mampu menarik pemuda dan pengundi atas pagar.
“Saya rasa dia akan buat sesuatu untuk sampaikan mesej mesej kuat kepada pengundi Rantau,” kata Streram kepada pemberita semasa kempen di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah di sini.
Pakar bius itu giat menjalankan kempen rumah ke rumah dalam kempen yang berbaki dua hari sahaja lagi sebagai usaha terakhir untuk memastikan PH dapat merampas kerusi tersebut dari Barisan Nasional.
Beliau yakin mempunyai peluang untuk mengejutkan persona gergasi politik Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hasan menerusi kaedah mendekati pengundi secara bersemuka yang menurut Streram akan memberi impak positif Sabtu ini.
“Saya akan fokus dua hari terakbhir ini mendekati pengundi dari rumah ke rumah memujuk dan meraih undi. Tiada yang lebih berkesan daripada taktik ini.
“Manakala ceramah umum yang diatur bilik gerakan utama PH akan diteruskan bersama pemimpin pemimpin besar dan lebih penting pengundi atas pagar sudah beralih ke arah PH,” katanya. .- MalaysiaGazette