Home Politik ‘Dajal’ akan timbul di saat akhir kempen PRK Rantau

‘Dajal’ akan timbul di saat akhir kempen PRK Rantau

Khairul Azwan Harun
Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berucap pada program sembang santai bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Angsamas, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2019.

RANTAU – Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata akan timbul kumpulan-kumpulan yang akan cuba untuk menimbulkan ketegangan pada saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menggelar golongan ini sebagai ‘dajal pilihan raya’, Khairul Azwan atau Azwanbro berkata, pelbagai dakyah dan fitnah palsu akan dilancarkan bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kalah di Rantau.

“Lagi dua tiga hari, akan muncul dan timbul dajal akan keluarkan dakyah-dakyah pembohongan, fitnah terutama untuk memburukkan keperibadian calon kita.

“Saya minta pengundi dan rakyat Rantau jangan berasa gusar dan hilang keyakinan kerana kita sentiasa berada dalam jalan yang benar,” katanya dalam siri ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Angsamas, Rantau semalam.

Azwanbro antara penceramah yang mengiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Ramah Mesra bersama Ahmad Zahid.

Mengulas lanjut Azwan berkata, pengundi Rantau harus memenangkan Mohamad Hasan bagi menjadi pihak ‘check and balance’ kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.

“(BN) Harus berada dalam jalan yang benar dalam memastikan kerajaan PH dan Negeri Sembilan ini kita akan semak dan imbang sehingga PRU15.

“Ini bukan soal nak menangkan Tok Mad kerana beliau merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Ini bukan soal kita nak mengklasifikasikan keperibadian dan kerajaan Tok Mad. Bukan soal nak mengangkat tokoh kita tapi kerana sumbangan besar beliau sudah terbukti kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

BN kini dalam misi untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR. -MalaysiaGazette