RANTAU – UMNO berpendapat usul untuk menggantung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama tiga bulan pada sidang Dewan Rakyat hari ini adalah satu keperluan yang tidak perlu.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, usul itu dilihat tidak wajar kerana hari ini adalah hari terakhir sidang Dewan Rakyat dan akan menyambung semula sidang Julai depan.
“Tak payah gantung pun (Najib) sebab Parlimen bersidang lagi empat bulan. Buat apa nak gantung. Lagi sehari bersidang tidak ada apa-apa.
“Sebab Parlimen akan bersidang kembali lepas empat bulan. Edah tiga bulan adalah semasa Parlimen tidak bersidang,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) Barisan Nasional (BN), hari ini.
Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu mengulas mengenai dakwaan Najib didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melakukan suatu perbuatan menghina majlis mesyuarat.
Bagaimanapun menurut aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang terbaharu hari ini, Najib hanya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di Dewan Rakyat.
“Bahawa Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan Yang Berhormat Pekan di mana Yang Berhormat Pekan telah melanggar Embargo dokumen Kertas Putih Tuju Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Perbuatan Yang Berhormat Pekan jelas melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan disifatkan telah melakukan suatu perbuatan menghina Majlis maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Pekan hendaklah dihujahkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” demikian menurut aturan mesyuarat terbaharu itu.
Najib pada Selasa telah memuat naik dokumen berkenaan selang beberapa jam sebelum pembentangan tersebut, sekaligus menyebabkan rata-rata wakil rakyat merasa tidak senang termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merasakan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi. -MalaysiaGazette