Home Sukan Rafiq, Ridzuan dipilih Atlet Terbaik SAM 2018

Rafiq, Ridzuan dipilih Atlet Terbaik SAM 2018

Pemenang Anugerah Atlet Terbaik Rafiq Ismail (kiri) dan Atlet Paralimpik Terbaik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bergambar bersama trofi dan replika cek pada Majlis Santapan Malam Ulang Tahun Ke-50 Anugerah SAM, malam tadi. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Bintang boling dunia, Muhammaidd Rafiq Ismail dan jaguh olahraga para kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Paralimpik Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018, malam tadi.

Kedua-dua atlet berkenaan masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat ke majlis gilang-gemilang itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, SAM turut menyampaikan Anugerah Khas Sepanjang Hayat  kepada Penaung Diraja SAM, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah atas sumbangan besar baginda terhadap arena sukan negara, khususnya bola  sepak.

Edisi anugerah tahun ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM yang ditubuhkan pada 1969.

Dalam pada itu, Muhammad Rafiq mengetepikan saingan sengit beberapa atlet tersohor negara seperti jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang; gandingan ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan  Cheong Jun Hoong; Amy Kwan Dict Weng (gimrama) dan Mohamad Hazim Amzad (silat).

Muhammad Rafiq melakar kejayaan cemerlang sepanjang tahun lepas dengan meraih pingat emas acara perseorangan pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong, sekali gus muncul pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Sebelum itu, atlet muda berusia 22 tahun itu juga beraksi cemerlang pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan memenangi satu pingat emas dan satu pingat perak, masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki serta muncul juara kebangsaan buat kali kedua selepas 2015.

Sementara, Mohamad Ridzuan mengetepikan saingan dua lagi jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta Bonnie Bunyau Gustin daripada sukan powerlifting.

Atlet kelahiran Perlis itu, yang dinobat  Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 oleh Majlis Paralimpik Asia baru-baru ini, melakar kejayaan membanggakan pada Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas, dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia.

Ini kali kedua Mohamad Ridzuan dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik selepas mengunggulinya pada 2016.

Atlet berusia 31 tahun itu turut menerima Anugerah Pilihan Peminat 100PLUS, yang memberi peluang kepada peminat sukan negara mengundi atlet pilihan masing-masing berdasarkan prestasi terbaik dipamerkan atlet sepanjang 2018.Majlis itu turut menyaksikan wartawan Helmi Talkah dan Fabian Peter dari Berita Harian/NST dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel melalui artikel ‘Badminton Dipalit Bookie’.

Dua wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif tercalon sebagai antara lima laporan terbaik bagi kategori Laporan Berita Permotoran Terbaik. – MalaysiaGazette