Home Nasional Inkuiri Suhakam: ‘No cover up’ – Muhyiddin

Inkuiri Suhakam: ‘No cover up’ – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 APRIL 2019

SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tiada sebarang usaha untuk menutup kes kehilangan dua individu membabitkan pastor Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Muhyiddin sebaliknya menegaskan, pihaknya memandang serius laporan hasil inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sambil menyifatkan cadangan mewujudkan pasukan petugas sebagai berasas.

“Sebab itu laporan Suhakam kita pandang berat, jangan ada salah faham mengatakan tiada komen, macam kita ini nak ‘cover up’, ‘no cover up’, what ever reported, and inquiry been done by Suhakam is taken very seriuosly.

“Saya fikir mungkin ada asas (tubuh pasukan petugas), apa pun kita akan berbincang dengan pihak peguam negara untuk dapatkan panduan dan dipersetujukan oleh Kabinet.

“(Selepas itu) siapakah pengerusi dan ahli jawatankuasa supaya kerja-kerja dilaksanakan untuk setiap kes fakta dan meneliti semula apa yang dilaporkan oleh Suhakam itu dapat kita lakukan dengan seberapa cepat mungkin,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Stesen Udara Maritim Subang, di sini, hari ini.

Sebelum ini Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai dalam laporan hasil inkuiri awam menyalahkan Cawangan Khas Bukit Aman di atas kehilangan paksa dua individu berkenaan sejak 2016.

Muhyiddin berkata, pihaknya memandang serius kes kehilangan itu kerana ia membabitkan integriti dan kredibiliti agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya tidak ragu-ragu mengatakan ini satu perkara penting kerana ia menyentuh soal integriti dan kredibiliti agensi penting seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ataupun Cawangan Khas (SB)

“Tetapi yang penting ialah ke mana pergi mereka berdua ini dan keluarga mereka tentulah sejak dua tahun menunggu sama ada masih hidup atau mati, bukan soal lain, itu dianggap agak utama dari sudut perikemanusiaan.

“Tanggungjawab kita ialah untuk membantu supaya isu itu dapat dirungkaikan dan kedudukan sebenar dapat diketahui,” katanya lagi. – MalaysiaGazette