Home Ekonomi Sektor kewangan Islam perlukan fatwa baharu

Sektor kewangan Islam perlukan fatwa baharu

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd Daud Bakar bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2019 ke-13 di Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Para ulama dan ahli akademik dalam bidang syariah diminta lebih berani mengupas dan mengeluarkan peraturan mahu pun fatwa berhubung isu-isu semasa industri kewangan Islam.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, perkembangan sektor kewangan yang terlalu pantas menyebabkan isu-isu seperti teknologi kewangan (fintech), sukuk, perbankan Islam, pengurusan wakaf dan zakat memerlukan fatwa-fatwa baharu yang tidak ada selama ini.

“Keberanian adalah satu masalah yang cukup besar kerana (para ulama dan ahli akademi) memerlukan keberanian untuk mengambil isu yang belum masak untuk dikupas dan menjadikannya sebagai isu masyarakat.

“Mereka bukan setakat mengulang-ulang sesuatu yang telah nyata.

“(Isu-isu tersebut) macam isu wakaf, finteh, kajian kredit dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam di sini hari ini.

Tambah Mohd. Daud, muzakarah yang berlangsung selama sehari itu tidak akan mengeluarkan sebarang resolusi kerana tempoh yang terlalu pendek tidak akan mampu menyelesaikan sesuatu isu yang rumit.

Namun beliau berharap supaya setiap peserta dapat melontarkan idea-idea mereka sebelum pulang untuk melakukan kajian yang lebih mendalam dan mengemukakan hasil tersebut supaya boleh menambahbaik sistem kewangan Islam di negara ini termasuk dalam penghasilan dasar-dasar baharu oleh kerajaan.

MGF11042019_Perasmian Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam_11
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd., Datuk Adissadikin Ali berkata, muzakarah sebegini sangat penting kepada pemain-pemain industri kewangan Islam di negara ini.

“Kewangan Islam tidak mengalami masalah kekurangan produk, kami setanding dengan perbankan konvensional cuma terdapat isu-isu tertentu yang tidak dikupas antaranya kelestarian yang mana ia merupakan salah satu asas dalam Islam namun tidak diberi perhatian di dalam industri kewangan Islam.

“Sedangkan di perbankan konvensional, mereka sudah mengorak langkah di dalam isu kelestarian, ini yang perlu kita beri tumpuan,” katanya.

Namun begitu, beliau percaya, sektor kewangan Islam tidak akan ketinggalan jauh berbanding industri kewangan konvensional.- MalaysiaGazette