Home Politik Pas diundang lawat MIC lagi

Pas diundang lawat MIC lagi

KUALA LUMPUR – MIC buat kali kedua menjemput Pas untuk membuat lawatan muafakat ke ibu pejabat parti itu, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi menerusi kenyataan, menghargai jemputan yang dibuat MIC sejak Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk membuat kerjasama politik selaku gabungan parti pembangkang.

Beliau juga menganggap undangan tersebut sebagai satu perkembangan yang baik antara kedua-dua parti yang dalam masa yang sama melibatkan kaum Melayu dan India.

“Maka hari ini, Pas sangat menghargai undangan MIC secara langsung membuka lembaran barunya kepada Pas dengan cara terhormat, menunjukkan ada kemajuan setelah adanya di kalangan masyarakat India bukan Islam yang bersama Pas dalam sayap Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang menjadi saluran hubungan Pas dengan masyarakat majmuk,” katanya.

Namun Abdul Hadi tidak memaklumkan masa dan tarikh undangan lawatan MIC kepada Pas.

Sebelum ini pada 29 Mac yang lalu, Pas membuat lawatan muafakat ke ibu pejabat MIC atas jemputan parti itu.

PAS pula secara rasmi menjemput pimpinanparti itu hadir ke Muktamar Tahunan  yang akan diadakan pada 21 Jun nanti di Kuantan.

Presiden Pas itu kemudian merumuskan perkembangan itu sebagai bukti tidak semua penganut bukan Islam memiliki sikap prejudis terhadap Islam.

“Akhirnya kita tidak harus meletakkan semua daripada kalangan bukan Islam dalam satu bakul yang sama dengan kumpulan yang bersikap prejudis terhadap Islam dan fanatik perkaumannya atau melampau. Laksanakan petunjuk al-Quran yang menegaskan bahawa seluruh manusia itu adalah keluarga besar,” ujarnya.

MCA dan MIC baru-baru ini membuat keputusan untuk kekal dalam BN sekalipun UMNO membuat menetapkan untuk mengadakan kerjasama politik dengan Pas demi mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan sebelum ini. -MalaysiaGazette

+ posts