
KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia jatuh ke paras terendah sejak 20 April tahun lepas dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) muncul sebagai faktor utama prestasi tersebut.
Ketika ditutup, saham TNB rugi 52 sen kepada RM12.06 seunit.
Selain TNB, 24 lagi saham wajaran tinggi indeks penanda aras FBM KLCI turut mengalami penurunan.
Pada akhir dagangan petang tadi, FBM KLCI jatuh 15.23 mata atau 0.93 peratus kepada 1,624.23 daripada 1,639.46 ketika ditutup semalam.
Indeks itu yang dibuka susut 0.13 mata kepada 1,639.33 itu juga turun naik antara paras 1,622.45 dan 1,639.33 sepanjang dagangan hari ini.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 620 berbanding 275 manakala 390 kaunter kekal tidak berubah, 584 didagangkan dan 31 lain digantung.
Jumlah dagangan sebaliknya meningkat kepada 3.58 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 3.34 bilion unit bernilai RM2.36 bilion yang dicatatkan semalam.
Semalam, Bloomberg melaporkan Khazanah Nasional Bhd. telah menjual 85 juta saham TNB pada harga RM12.33 seunit.
Ini menyebabkan sejumlah RM2.5 bilion nilai TNB hilang daripada modal pasaran sekali gus mengecilkan saiznya kepada RM69.03 bilion.
Bagaimanapun, Khazanah masih lagi pemegang saham terbesar di dalam syarikat utiliti negara itu.- MalaysiaGazette