Home Utama Beri kuliah maghrib kemudian menari – Hadi

Beri kuliah maghrib kemudian menari – Hadi

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta barisan kepimpinan tertinggi BN dan PAS bergambar sambil mengangkat tangan pada Ceramah Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Angsamas, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pentas ceramah kempen Barisan Nasional (BN) PRK Rantau di sini malam tadi.

Menurutnya, seorang pemimpin sepatutnya pandai membezakan tujuan memberikan kuliah dan berhibur dalam siri kempen pilihan raya.

“Kami (Pas) bekerja keras untuk menangkan (Datuk Seri) Mohamad Hasan, pilihan raya bukan macam peraduan peragawati, nak pamerkan pakaian di luar nampak elok di belakang koyak.

“Tempat orang Melayu pakai Melayu, tempat India pakai India, tempat Cina pakai Cina, tempat kuliah maghrib (beri) kuliah maghrib, tempat menari (dia boleh) menari.

“Ucapan saya tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang meninggal dunia,” selorohnya dalam Ceramah Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di tapak pasar malam Taman Angsana dekat sini.

Hadir sama calon PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker, serta Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan.

Turut kelihatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Untuk rekod ini kali pertama Hadi bersama kepimpinan MCA dan MIC sepentas dalam siri ceramah.

Ujar Ahli Parlimen Marang itu, Pas berusaha kuat untuk memenangkan calon BN setelah parti itu bekerjasama dengan UMNO yang mengetuai blok pembangkang.

Biar pun Abdul Hadi tidak menyebut nama namun jelas kenyataan itu merujuk kepada Presiden PKR.

Dalam siri kempen PRK DUN Rantau, Anwar dilihat pernah menari menyanyi lagu Tamil hampir tiga minit bersama seorang artis yang berpakaian seperti pelakon terkenal dari India, MG Ramachandran (MGR).

Dalam pada itu, Hadi turut sinis mengenai jumlah kehadiran di ceramah-ceramah PH.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik di luar dugaan saya kehadiran pada malam ini. Dimaklumkan ada parti dia ceramah orang tak ramai nak bagi ramai buat tempat sempit, saya cadang letak cermin kiri kanan,” sambil disambut gelak ketawa lebih 3,000 orang yang hadir. -MalaysiaGazette