PRK RANTAU – Saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta rakyat Malaysia agar meminum sesudu minyak sawit sehari terus menjadi alat kempen Barisan Nasional (BN).
Calon BN PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ceramah di tapak pasar malam Taman Angsana malam tadi juga sinikal terhadap cadangan itu.
“Dia (Mahathir) suruh kita guna minyak kelapa sawit seorang sesudu sehari untuk kita bersama-sama pastikan minyak kelapa sawit tidak turun harganya.
“Itu sebabnya, Datuk S. Saravanan (Naib Presiden MIC) begitu berkilat sekali itu baru tiga sudu kalau empat sudu, tidak nampak orang nanti,” katanya berseloroh diikuti gelak para penyokong BN.
Malah kenyataan itu turut mencuit hati Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang menjadi tetamu khas BN dalam siri kempen PRK Rantau.
Hadir sama Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Ini kali pertama Mohamad sepentas dengan Hadi dan beberapa pemimpin tertinggi komponen BN setelah menjalinkan kerjasama politik antara UMNO dan Pas.
Malah, tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, sekiranya langkah Mahathir mengesa rakyat Malaysia meminum sesudu minyak kelapa sawit berhasil menaikkan harga komoditi tersebut maka langkah sama perlu dilakukan lepas pengeluaran getah negara.
“Sebab minyak kelapa sawit suruh kita minum nak tampung harga minyak sawit supaya tidak jatuh, esok suruh minum susu getah pula untuk menampung harga getah pula,” sinisnya.
Mahathir semasa merasmikan kempen Sayangi Sawitku pada 26 Mac lalu berhara agar semua rakyat akan minum satu sudu kelapa sawit sehari. -MalaysiaGazette