Home Ekonomi Ekonomi Singapura rekod pertumbuhan perlahan

Ekonomi Singapura rekod pertumbuhan perlahan

SINGAPURA – Ekonomi Singapura berkembang 1.3 peratus pada suku pertama 2019, terus merosot dalam tempoh tiga tahun disumbang oleh kemuncupan sektor pengilangan.

Angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini adalah sedikit rendah berbanding unjuran 1.4 peratus yang dibuat oleh undian penganalisis Bloomberg.

Pakar ekonomi kanan DBS, Irvin Seah berkata, angka itu merekodkan pertumbuhan paling lemah sukuan sejak suku kedua 2009, iaitu ketika krisis kewangan global.

Beliau bagaimanapun menegaskan “ekonomi masih jauh daripada kemelesetan” dan angka tersebut dilihat hanyalah satu fenomena sementara.

Ini kerana, asas perbandingan dengan tahun lepas adalah tinggi di samping sikap pengilang yang bertindak mengurangkan pembelian susulan ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China.

Tambahnya, kemelesetan ditentukan oleh kejatuhan ekonomi dalam dua suku berturutan (kemelesetan teknikal) atau penguncupan angka pertumbuhan sepanjang tahun.

Menurut Seah, Singapura tidak mengalami pertumbuhan negatif dan berpendapat, ekonomi republik itu sedang berada di paras terendah pusingan dan berpotensi untuk mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini.- MalaysiaGazette