
KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar US hari ini disebabkan para pelabur memilih langkah yang lebih selamat, khususnya selepas data Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi Februari (IPP) serta ramalan pertumbuhan global Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dilihat agak tidak memberangsangkan.
Pada 6 petang, ringgit tidak berubah pada 4.1120/1170 berbanding dolar US daripada 4.1120/1160 yang dicatatkan semalam.
Menurut Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga, data IPP yang lebih lemah daripada jangkaan bagi Februari 2019 telah memberi tekanan kepada ringgit untuk didagangkan hampir kepada tahap 4.12 berbanding dolar US, lebih jauh daripada jarak 4.06 – 4.10 yang dicatatkan oleh mata wang tempatan itu sejak Februari tahun ini.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia semalam, IPP Februari meningkat sebanyak 1.7 peratus dari tahun ke tahun, ia mencatatkan pertumbuhan paling perlahan sejak Mei 2018.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika mengulas mengenai semakan semula IMF ke atas pertumbuhan global 2019, berkata laporan IMF juga menyebut bahawa pihak berkuasa monetari perlu memainkan peranan yang aktif untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
“Amat jelas sekali, ura-ura Rizab Persekutuan AS yang akan menurunkan kadar faedah pasti menjadi fokus utama.
“Selain itu, Bank Pusat Eropah dan Rizab Persekutuan bimbang dengan risiko aliran penurunan, terutama yang berkaitan dengan dasar perlindungan perdagangan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Secara keseluruhannya, Mohd Afzanizam berpendapat akan wujud permintaan yang tinggi bagi mata wang aset selamat dan dalam proses tersebut, pasaran mata wang baru muncul seperti ringgit, menjadi agak terdedah dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Otunuga percaya dengan asas-asas ekonomi Malaysia yang dijangka kekal berdaya tahan di tengah-tengah cabaran luar, asas-asas ini dilihat akan terus menyokong kenaikan ringgit pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali dengan euro, ia adalah lebih rendah kepada 4.6519/6596 daripada 4.6367/6428 semasa ditutup semalam.
Mata wang tempatan itu meningkat berbanding pound British kepada 5.3760/3842 daripada 5.3826/3883 dan mengatasi yen Jepun kepada 3.6744/6798 daripada 3.7008/7048.
Ia juga menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0367/0406 daripada 3.0383/0417. – MalaysiaGazette