PRK RANTAU- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan dakwaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat semula kerana PRK DUN Rantau.
Menurutnya, perubahan jajaran ECRL ke Negeri Sembilan itu tidak ada kena mengena dengan hari mengundi kali ini.
“Pelan rundingan semula jajaran ECRL itu telah dimulakan sejak tahun lalu sebelum PRK DUN Rantau diumumkan kerajaan pusat,” katanya di hadapan lebih 1,000 hadirin Grand Finale PH sempena kempen PRK yang menutup tirai 12 tengah malam tadi.
Kata Anthony, kerajaan PH tidak menjangka akan berlaku PRK di Rantau.
“BN hentam kerajaan kononnya kita nak pancing undi. Tahun lepas kita tak tahu akan ada PRK di Rantau ini,” katanya lagi.
Lagipun jelasnya, kerajaan mengumumkan mengenai ECRL hari ini kerana Tun Daim Zainuddin sudah ada di China dan memuktamadkan perjanjian dan diumumkan hari ini.
“Ini tidak ada kena mengena sebab PRK esok (13 April) sebaliknya ini pengumuman yang akan bermanfaatkan seluruh negara,” tegasnya dalam ceramah di Bandar Seri Sendayan Seremban di sini.
Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PH, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon PH, Dr. S. Streram.-MalaysiaGazette