Home Utama Pengundi DUN Rantau mengundi hari ini

Pengundi DUN Rantau mengundi hari ini

Seawal pagi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa peti undi SPR pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil N.27 Rantau di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 13 APRIL 2019.

SEREMBAN – Seramai 20,793 orang pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan mengundi pemimpin mereka selepas kempen selama 14 hari berakhir lewat malam tadi.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar tetapi seramai 118 telah menjadi pengundi luar awal dan empat lagi pengundi luar negara yang tidak hadir.

MGF13042019_HARI UNDI PRK RANTAU_03
Calon Bebas, R. Malar datang seawal jam 6.40 pagi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chuang Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2019

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

Empat calon iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Dr S. Streram (Pakatan Harapan) dan dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi serta Mohd Nor Yassin akan bersaing untuk memenangi pilihan raya itu.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 515 orang kakitangannya akan bertugas sepanjang proses pengundian hari ini.

Mohamad yang telah menguasai kerusi itu sejak tiga penggal lalu dan Malarvizhi akan mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua.

MGF13042019_HARI UNDI PRK RANTAU_01
Anggota polis membuat pemeriksaan bagi menjaga keselamatan pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chuang Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2019

Manakala, Dr Streram dijangka mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau. Manakala Mohd Nor tidak mengundi memandangkan beliau pengundi kawasan DUN Gemencheh, Tampin.

SPR mensasarkan jumlah keluar mengundi pada PRK DUN Rantau sebanyak 70 peratus.

PRK DUN Rantau diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu.

Mahkamah tersebut telah mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018 selepas DUN Sungai Kandis, DUN Balakong dan DUN Seri Setia Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands serta DUN Semenyih.

Keputusan PRK itu dijangka diketahui pukul 9 malam ini. – MalaysiaGazette