RANTAU – Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini menyaksikan 20,793 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat mereka.
Proses mengundi di 14 Pusat Daerah Mengundi di DUN Rantau hari ini bermula tepat pukul 8 pagi tadi tanpa sebarang halangan.
Anggota polis dan pegawai yang bertugas di lapangan sudah mula mengawal lalu lintas dan meletakkan kon larangan masuk ke kawasan PDM pada radius 50 meter.
Selain itu, polis turut mengarahkan kenderaan awam termasuk pengamal media di alihkan pada jarak 50 meter dari sekolah tersebut.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak pukul pagi tadi mendapati suasana di luar PDRM Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rantau tenang dan ceria apabila kebanyakan pengundi warga emas mula tiba sejak 7.30 pagi lagi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
Lensa kamera video dan jurufoto juga sibuk untuk mencari sudut menarik merakam reaksi pengundi yang menunggu di saluran satu dan dua di SJKT Rantau.
Calon Pakatan Harapan Dr. S.Streram hadir tepat 8.25 pagi dan membuang undi sekitar 8.35 pagi sebelum mengambil masa berbual dengan para pengundi sambil memantau kemudahan undi yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini.
Manakala Calon Barisan Nasional Mohamad Hasan pula hadir memantau proses mengundi sekitar 9.20 tadi sebelum memantau kemudahan mengundi yang disediakan.
Sekolah SJKT Rantau mempunyai bilangan pengundi berdaftar ketiga tertinggi iaitu 2,158 orang.
Para penyokong parti PH mendirikan khemah pada jarak 50 meter dari PDM SJKT Rantau di bahu kiri jalan ke sekolah tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan MOhd Rosli Ishak berkata, sejumlah besar anggota polis dan pegawai ditempatkan untuk memangtau dan mengawal kelancaran proses mengundi di kesemua 14 PDM Rantau.
“Tiga pusat mengundi di tepi Jalan Besar Pekan Rantau melibatkan aliran trafik dan kesesakan dan pegawai trafik diletakkan untuk menangani masalah itu.
“Seramai 9 pegawai dan 56 anggota trafik terlibat dalam tugas mengawal trafik dan aturgerakan hari ini supaya aliran trafik tidak terganggu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan dan amaran kepada parti parti politik yang bertanding termasuk penyokong mereka supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi bagi mengganggu proses mengundi dan dinasihatkan menjaga tingkah laku mereka.
“Saya juga nasihatkan pengundi supaya keluar awal untuk mengundi hari ini mengelak kesesakan,” katanya. – MalaysiaGazette