Home Dunia Pyongyang beri masa AS hingga akhir tahun

Pyongyang beri masa AS hingga akhir tahun

Kim Jong-un. Foto Agensi

SEOUL – Kim Jong Un mengakui kegagalan perbincangan dengan Amerika Syarikat telah meningkatkan semula ketegangan.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi Korea Utara itu hanya berminat bertemu dengan Presiden Donald Trump lagi jika Amerika Syarikat datang dengan sikap yang betul.

Kim berkata, beliau akan menunggu sehingga akhir tahun ini untuk Amerika Syarikat untuk memutuskan lebih fleksibel, menurut laporan agensi berita KCNA.

“Apa yang diperlukan oleh Amerika Syarikat adalah untuk menghentikan pengiraan yang dibuat sekarang dan datang kepada kami dengan pengiraan baharu,” katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan.

Trump dan Kim telah dua kali bertemu, terbaharu di Hanoi pada Februari lalu selepas di Singapura pada Jun tahun lalu.

Namun, kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat dalam pertukaran timbal balik dalam sekatan ke atas Pyongyang meskipun negara itu telah menghentikan program nuklear dan peluru berpandu.

Khamis lalu, Trump berkata, beliau bersedia bertemu dengan Kim semula.

Tetapi dalam ucapannya, Kim berkata, hasil pertemuan di Hanoi telah menyebabkan beliau mempersoalkan strategi yang disuarakan pada tahun lalu tentang penglibatan antarabangsa dan pembangunan ekonomi.

Sidang kemuncak Hanoi “menimbulkan persoalan kuat sama ada langkah-langkah yang kami ambil di bawah keputusan strategik adalah betul dan menyebabkan kami rasa perlu berhati-hati mengenai sama ada Amerika Syarikat sebenarnya berusaha untuk memperbaiki hubungan Korea Utara-Amerika Syarikat,” kata Kim.

Kim menambah, semasa di Hanoi, Amerika Syarikat datang dengan ‘pelan lengkap yang tidak direalisasikan’ dan ‘tidak begitu bersedia untuk berbincang secara bersemuka dengan kami dan menyelesaikan masalah”.

“Dengan pemikiran seperti itu, Amerika Syarikat tidak akan dapat menggerakkan kami walaupun mereka duduk bersama kami seratus, seribu kali,dan tidak dapat memperoleh apa yang mereka mahukan.

“Saya akan bersabar dan menunggu sehingga akhir tahun ini untuk keputusan berani Amerika, tetapi ia akan menjadi sukar untuk mendapatkan peluang yang baik pada saat-saat akhir,” tegasnya. – MalaysiaGazette