KUALA LUMPUR – Tidak memahami tugas dan tanggungjawab seorang doktor merupakan antara faktor yang menyebabkan lebih 30 peratus penuntut pengajian perubatan gagal.
Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Dr Adeeeba Kamarulzaman berkata, ada juga antara pelajar yang tidak faham atau minat dengan bidang ini tetapi mengambilnya atas paksaan ibu bapa.
“Pada sangkaan keluarga, ini adalah kerjaya bergaji lumayan, glamour, hebat dan mungkin juga senang.
“Sebenarnya, mereka belum bersedia untuk memikul tanggungjawab besar seorang doktor,” katanya.
Lantaran itu, Dr Adeeba berkata, beliau sudah beritahu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa sudah tiba masanya untuk melaksanakan saringan ketika pengambilan pelajar dalam bidang ini.
“Ada banyak aspek perlu diperhalusi, disebabkan itu kita anjurkan MedXUM untuk membantu golongan penuntut ini lebih memahami kehendak dan tanggungjawab, selain daripada kita bina ketahanan mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran MEDxUM di Universiti Malaya di sini.
Dalam pada itu, Pengarah MEDxUM 2019, Muhamad Badzli Mifzal Mohd Zaki berkata, tema ‘Faces of Medicine’ sebenarnya memberi fokus serta mendalami pelbagai cabaran seorang pelajar perubatan hingga bergelar doktor pada satu hari kelak.
Selain itu, setiap sesi persidangan itu akan mendedahkan pelajar dengan setiap kepakaran.
“Kita telah menjemput speaker dalam kalangan doktor terbaik negara bagi memberi penerangan tentang kepakaran masing-masing.
“Mereka akan berkongsi pengalaman dan juga memberi maklumat tentang cara memilih kursus latihan kepakaran tersebut.
“Peserta kita sendiri akan berinterkasi dengan golongan ini bagi menjiwai kerjaya ini. Seperti yang anda tahu, ini bukan satu kerjaya yang senang sebenarnya, kami perlu faham prospek yang kami ceburi,” ujarnya. – MalaysiaGazette