Home Ekonomi Empat kaedah pertingkat usahawan wanita

Empat kaedah pertingkat usahawan wanita

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi dan Francais Usahawan, Ahmad Musadad Sulaiman (dua kiri) diiringi Pengerusi Ar-Rahnu Komani, Saifulrizam Zainal (kanan) membuat lawatan sekitar pejabat pada Majlis Perasmian Cawangan Ar-Rahru Komani dan Penyampaian Cek Pembiayaan Khas Komani Untuk Usahawan Muda Wanita di Ar-Rahnu Komani, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Empat kaedah utama akan digunakan kerajaan untuk mempertingkatkan jumlah usahawan wanita di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamad Redzuan berkata, kaedah itu diambil berdasarkan kajian Bank Dunia yang dimaklumkan kepada kerajaan.

Empat kaedah itu katanya, memperluaskan ruang dan peluang untuk mendapatkan dana; membantu mendapat pasaran yang lebih luas; mempromosi kejayaan usahawan wanita dan mendokong pembangunan usahawan wanita dalam teknologi digital.

“Apa sahaja inisiatif dan usaha yang diperkenalkan, teras paling utama, adalah memastikan ruang dan peluang memperoleh dana keusahawanan itu wujud dan boleh didapati dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi dan Francais Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Ahmad Musadad Sulaiman.

Ahmad Musadad mewakili Mohamad Redzuan merasmikan pembukaan cawangan pertama Ar-Rahnu Komani dan Pelancaran Program Pembiayaan Khas Komani Untuk Golongan Usahawan Muda Wanita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Redzuan berkata, MED amat yakin sektor koperasi mempunyai kapasiti kemapuan, pengetahuan dan pengalaman untuk menjadi sektor ekonomi yang lebih strategik kepada negara.

Ujarnya, usia gerakan koperasi di Malaysia yang hampir mencecah angka 100 tahun wajar dijadikan sandaran dan teras kekuatan ini.

“Kerajaan sangat optimis bahawa sumbangan gerakan koperasi kepada KDNK negara mampu meningkat kepada 10 peratus menjelang tahun 2020.

“Dengan iltizam tinggi, tadbir urus yang baik dan perancangan teliti, saya secara peribadi merasakan sasaran ini mampu dicapai,” ujarnya. – MalaysiaGazette