KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mendakwa Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak mempunyai ‘kuasa’ mengarahkan rombakan exco mesyuarat kerajaan negeri susulan perletakan jawatan mengejut Menteri Besar, Datuk Osman Sapian Isnin lepas.
Menurut Pengerusi PKR Johor merangkap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim kepada Malaysiakini kuasa menstruktur barisan Exco sebenarnya terletak pada bidang kuasa Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) serta parti yang memenangi pilihan raya.
“Rombakan yang dicadangkan itu sebenarnya kena merujuk kepada parti PH.
“PH yang kena tentukan bukan Sultan kerana DUN di pilih oleh rakyat Johor dan kuasa untuk tentukan kerajaan negeri Exco ini adalah kuasa parti yang menang.
“Jadi untuk nak rombak exco ini bukan kuasa Sultan sebaliknya adalah kuasa parti politik yang menang,” katanya sebentar tadi.
Sultan Ibrahim yang berkenan menerima menghadap Osman ke istananya kemudian dikatakan menetapkan syarat baginda mahu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dirombak oleh menteri besar baharu.
Dalam pada itu, UMNO Johor akur cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan diteruskan bagi mengelak berlakunya krisis Perlembagaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohamad pula berkata, cadangan untuk tidak meneruskan pembubaran itu dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa beliau menghadap baginda di Istana Pasir Pelangi pada 11 pagi ini.
Peletakan jawatan Osman berkuat kuasa Isnin lalu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu.
Osman, 67, Menteri Besar Johor ke-16, dipercayai menteri besar paling singkat tempoh perkhidmatannya, kurang daripada 11 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei tahun lalu berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengisytharan pelantikan Menteri Besar yang baharu akan diadakan di Istana Bukit Serene di sini pukul 9.30 pagi esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani berkata, istiadat penyerahan surat tauliah kepada Menteri Besar baharu dilakukan esok bagi menggantikan Osman.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor pada di Istana Pasir Pelangi di sini pukul 10 pagi tadi, katanya dalam satu kenyataan hari ini. –MalaysiaGazette