KUALA LUMPUR – Kekalahan Dr Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memberi gambaran suram kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusuff berkata, kekalahan itu jelas menunjukkan bahawa PH kini tidak mampu lagi menunjukkan belangnya apabila tewas teruk di kawasan kerusi campuran.
Menurut beliau, kemenangan yang dicapai oleh Datuk Seri Mohamad Hasan adalah petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk berdepan PRK di Sandakan tidak lama lagi.
“Kemenangan ini boleh bawa mesej besar ke Sandakan. Sekarang ini pengundi bukan Melayu pun tak berpuas hati dengan PH.
“Jika ini dapat diterjemahkan dan kalau ini boleh ditunjukkan di Sandakan maka masa depan PH gelap. Jadi, ini adalah satu tugas besar kepada Pas dan BN untuk memperkasakan kerjasama yang terjalin,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi bagi mengulas keputusan PRK Rantau semalam.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, kemenangan BN pada PRK Rantau jelas melenyapkan ‘cita-cita’ PH untuk terus mengekalkan kuasa kerana ada pemimpinnya yang berkata bahawa PRK ini ibu kepada segala pilihan raya.
Katanya, jika sebelum ini ada dalam kalangan pemimpin PH mendakwa bahawa BN dan Pas hanya mampu menakluki kawasan majoriti Melayu tetapi apa yang terbukti di Rantau adalah sebaliknya.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut menyindir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin PH yang ‘keras kepala’ kerana membuat keputusan meletakkan Streram sebagai calon yang tidak dikenali dalam kalangan penduduk Rantau.
Malah katanya, keputusan oleh SPR pada malam tadi turut memberi tamparan hebat kepada Anwar yang sememangnya terlibat secara serius dalam PRK berkenaan di mana beliau sendiri berceramah hampir setiap malam seolah-olah beliau yang bertanding menentang Mohamad.
“Datuk Seri Anwar ni pun satu masalah besar. Dia adalah seorang yang keras kepala, tak nak dengar cakap orang.
“Kalau PRK 13 dulu calonnya Melayu kenapa tiba-tiba dalam PRK ini nak letak pemimpin India yang tak terkenal pula tu.
“Sedangkan dia tahu yang nak dilawan itu seorang tokoh besar. Jadi bila kalah konsep kepelgaian kaum itu telah menyebabkan populariti PH kini menurun,” ujarnya. – MalaysiaGazette