Home Utama Tumpu bantu rakyat, jangan buang masa tabur fitnah dan reka cerita –...

Tumpu bantu rakyat, jangan buang masa tabur fitnah dan reka cerita – Sultan Johor

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri supaya tidak membuang masa dengan banyak bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, baginda mahu kerajaan negeri menumpukan perhatian membantu kehidupan rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri.

“Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Negeri Johor,” titah baginda bersempena pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepung , Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di hadapan Sultan Ibrahim, pagi ini.

Sahruddin menerima surat tauliah pelantikan dan melafaz sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, pada majlis yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, 9.30 pagi tadi.

Menurut Sultan Ibrahim, kedaulatan negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung disebalik perjuangan hak asasi manusia.

Sementara itu, baginda berharap Sahruddin akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan Negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor.

Sultan Ibrahim juga mahukan Menteri Besar itu memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: