Home Politik Jangan terlalu yakin dengan kemenangan – KJ

Jangan terlalu yakin dengan kemenangan – KJ

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Jangan terlalu yakin dengan kemenangan yang diraih, kata bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sebaliknya Barisan Nasional (BN) kata Ahli Parlimen Rembau itu, masih perlu berusaha keras khususnya untuk mendekati rakyat dalam masa yang sama perbaiki kesilapan kerana banyak lagi cabaran yang akan mendatang.

“Kita tidak seharusnya terlalu yakin.. Masih terlalu awal banyak cabaran harus diatasi.

“Kerja keras, dekati rakyat akui dan memohon maaf atas kesilapan lepas. Janji untuk memperbaiki diri dan jadi pembangkang yang baik. Janganlah kita terlalu yakin,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu menerusi akaun Twitter sambil memuat naik berita tentang kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2019

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kerjasama di antara BN dengan Pas kini berada di tahap kematangan.

Justeru itu masing-masing sudah boleh berganding bahu dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Datuk Mohamad Hasan.

Namun senada dengan Khairy, usaha perlulah berterusan agar pengundi khususnya di kalangan generasi muda menyebelahi parti itu.

“Permuafakatan seluruh komponen BN dan Pas sudah masuk fasa kematangan.

“InsyaAllah, dengan penuh kerendahan diri, tidak angkuh dengan kemenangan, kerja kuat yang berterusan dan juga istiqomah menjadi penyambung lidah dan suara hati rakyat, mudah-mudahan rakyat terutamanya anak muda akan kembali memberikan sokongan kepada BN dalam PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette