PUTRAJAYA – Jika sebelum ini setiap calon yang menduduki ujian lesen memandu kenderaan akan diuji oleh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di setiap sekolah memandu.
Namun untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan dan integriti ujian pemanduan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan e-Testing tanpa pegawai dan dijangka bermula tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sedang melakukan projek perintis e-Testing melibatkan ujian di litar di Institut Latihan Memandu di negeri Johor sejak tahun lalu.
“Secara konvensionalnya, ada penguji di sebelah pemandu atau pelatih yang menduduki ujian lesen memandu.
“Namun apabila e-Testing dilaksanakan nanti, tiada lagi penguji (pegawai JPJ) di sebelah pemandu atau calon yang menduduki ujian itu.
“Semua ujian pemanduan oleh calon atau pelatih semasa membawa kenderaan pada hari ujian akan dipantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) khas dan sensor,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 di Kementerian Pengangkutan Jalan hari ini.
“Katakan ujian meletakkan kenderaan di dalam petak parkir yang disediakan atas litar ujian, andaikata pemandu tidak melepasi garis itu atau mereka keluar dari garisan itu maka mereka gagal dan ia akan dipantau melalui sensor dan CCTV.
“Maka tiada lagi penguji (pegawai JPJ) yang akan duduk di sebelah calon memandu yang menduduki ujian di atas jalan,” katanya lagi.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, e-Testing masih memerlukan perbincangan lanjut dengan sekolah sekolah dan institut lesen memandu yang beroperasi di seluruh negara selain memerlukan persediaan dari segi peralatan berkaitan CCTC dan sensor e-testing.
“Maka kita akan melaksanakannya secara berperingkat dan berfasa dengan perbincangan bersama sekolah dan institut memandu terlebih dahulu,” ujarnya.
Ditanya mengenai sebarang penglibatan kos pelaksanaan e-Testing memandu, Anthony berkata, sudah tentunya setiap institut lesen memandu perlu bersiap sedia dengan memasang peralatan ataupun secara menyewa alat kelengkapan yang diperlukan untuk e-Testing.
Bagaimanapun beliau menegaskan, model e-Testing itu masih belum ditentukan walaupun konsep pelaksanaan sudah ada dan akan ditambahbaik kemudian tetapi jumlah kos belum dimuktamadkan.
“Memang kita tidak akan membebankan orang ramai terutama mereka yang menduduki ujian memandu ini tetapi ujian ini apabila menggunakan e-Testing ia sudah pasti akan menambah keyakinan kepada pelajar ujian memandu kerana mereka akan tahu secara terperinci sebab kenapa mereka gagal.
“Sekiranya mereka gagal ujian memandu dan tidak puas hati dengan keputusannya, bolehlah merayu untuk menyemak semula melihat rakaman CCTV itu sekaligus akan menaikkan tahap keyakinan pelajar terhadap keberkesanan ujian memandu itu,” jelasnya lagi.
Anthony turut diminta menjelaskan keberkesanan dari projek perintis e-Testing berkenaan di Johor dan beliau berkata, ia melibatkan beberapa fasa sebelum meneliti aspek teknikal dan cara pelaksanaannya.
“Setakat ini belum dimuktamadkan pelaksanaannya dan projek rintis masih diteruskan di Johor.
“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi JPJ dan akan bincang balik bagaimana untuk melaksanakan e-Testing ini tanpa sebarang kekangan dan ia antara inisiatif yang diutamakan oleh kementerian buat masa ini.
“Kita nak lihat ia dapat dilaksanakan dalam kadar segera kerana ia adalah antara perkara yang saya telah umumkan sejak mengambil alih portfolio pengangkutan Mei lalu iaitu untuk memastikan sistem ujian ini satu sistem yang beringtegriti,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette