Home Nasional Saya geledah Ambank Raja Chulan – saksi

Saya geledah Ambank Raja Chulan – saksi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir untuk perbicaraan kes berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Saksi kedua kes perbicaraan Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau dilantik sebagai pegawai penggeledah pada 6 Julai 2015.

Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, yang merupakan pengurus di Bank Negara berkata beliau telah menggeledah Ambank Raja Chulan bagi membantu siasatan berkaitan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

“Saya pergi ke sana bersama tiga pegawai lain serta ketika itu turut berada R Uma Devi yang merupakan pengurus cawangan Ambank.

“Uma telah mendapatkan dokumen yang dikehendaki dan membawa kepada saya pada 6 Julai 2015.

“Saya melihat dokumen itu dan menandakannya dalam senarai geledah,” katanya ketika memberi keterangan di sini hari ini ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari kedua perbicaraan kes Najib berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Azizul berkata, sebanyak lapan dokumen yang terlibat termasuk empat akaun milik Najib.

Beliau turut menunjukkan Senarai Carian Perisikan Kewangan dan beliau mengesahkan bahawa senarai carian itu ditandatangani pada 6 Julai 2015.

Jelas saksi itu, senarai carian ditandakan sebagai barang kes pendakwaan dan mempunyai kedua-dua tandatangan beliau dan pengurus cawangan Ambank yang telah ditandakan.

Saksi juga menunjukkan dokumen itu yang diletakkan dalam lapan folder.

Azizul sebelum itu memberitahu mahkamah beliau menyertai Bank Negara pada 19 Jun 200 sebagai eksekutif.

Selepas itu beliau berkata telah dilantik sebagai penyiasat sejak tahun 2008.

Saksi itu berkata beliau telah melakukan beberapa penyiasatan sejak tahun itu termasuk pengubahan wang haram di bawah kawal selia Bank Negara. – MalaysiaGazette