Home Dunia Gereja ikonik Notre-Dame terbakar

Gereja ikonik Notre-Dame terbakar

Asap tebal dan api marak di bahagian bumbung Notre-Dame yang terbakar pada hari Isnin. foto Agensi

PARIS – Gereja besar Notre-Dame yang menjadi bangunan ikonik di Perancis terbakar dalam kejadian pada hari Isnin.

Kejadian itu disedari berlaku pada pukul 7 malam selepas bangunan yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian ditutup kepada orang awam.

Notre-Dame menerima 30,000 orang pengunjung setiap hari.

Rakaman video yang dikongsikan di laman sosial menunjukkan asap tebal dan api sedang marak yang kemudian diikuti dengan runtuhan bumbung setinggi 90 meter.

Jurucakap gereja berkenaan berkata, perhiasan dalaman kayu yang bertarikh abad ke-13 terbakar dan kemungkinan musnah.

Bagaimanapun, struktur utamanya iaitu dua menara loceng berjaya diselamatkan.

Pasukan bomba masih berusaha memadamkan api bagi menyelamatkan karya seni yang disimpan di dalamnya.

Presiden Emmanuel Macron menyifatkan kebakaran itu sebagai “tragedi yang dahsyat”.

Setakat ini punca kebakaran tidak diketahui.

Tetapi kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan berikutan berlaku keretakan dalam batu-batuan yang dikhuatiri akan menyebabkan bangunan tersebut tidak stabil.

Pejabat pendakwa raya berkata, ia telah membuka kertas siasatan yang menjurus kepada kemalangan yang disebabkan oleh kebakaran.

Macron yang melawat tempat kejadian berkata, perkara buruk berjaya ditangani dan skim pembiayaan antarabangsa bagi pembangunan semula katedral akan dilancarkan. – MalaysiaGazette