NEW YORK – Kenaikan harga minyak terjejas selepas kedua-dua penanda aras jatuh hampir 1.0 peratus selepas Menteri Kewangan Rusia dan OPEC memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran bagi megawal penguasaan pasaran Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat masih mengekalkan pengeluaran pada tahap tinggi.
Kerugian adalah terhad dengan kawalan bekalan global memandangkan pengeluaran di Iran dan Venezuela telah merosot berikutan tindakan Amerika Syarikat meningkatkan sekatan ke atas dua pengeluar OPEC dan ancaman pertempuran baharu akan menjejaskan pengeluaran minyak mentah di Libya.
Kontrak hadapan Brent pada akhir sesi didagangkan pada AS$71.18 setong, susut 0.5 peratus, sebelum susut di bawah AS$71 setong.
Brent merekodkan paras tertinggi sejak 12 November pada hari Jumaat lalu kepada AS$71.87.
West Texas Intermediate susut 0.8 peratus kepada AS$63.40 setong.
Harga minyak telah meningkat lebih 30 peratus tahun ini dipacu oleh perjanjian oleh OPEC dan sekutunya Rusia dengan mengurangkan 1.2 juta tong minyak sehari mulai 1 Januari lalu untuk tempoh enam bulan.
OPEC dan sekutu-sekutunya akan berjumpa kembali pada Jun ini untuk memutuskan sama ada akan terus mengawal bekalan minyak dunia.
Menteri Kewangan Rusia, Anton Siluanov pada minggu lalu berkata, Rusia dan OPEC mungkin akan meningkatkan pengeluaran bagi menguasai pasaran dengan Amerika Syarikat meskipun ia akan mengakibatkan harga minyak merudum serendah AS$40 setong.
“Terdapat dilema. Apa yang perlu kami lakukan dengan OPEC: Perlukah kita kehilangan pasaran, yang kini dikuasai oleh Amerika atau lepaskan perjanjian,” kata Siluanov.
Tambahnya: Jika perjanjian itu dilepaskan harga minyak akan jatuh dan pelaburan baharu akan mengecut. Pengeluaran Amerika akan menjadi rendah kerana kos pengeluaran bagi minyak syal lebih rendah berbanding pengeluaran tradisional.
Harga minyak mengalami tekanan daripada kenaikan pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat yang merekodkan 12.2 juta tong sehari bagi mingguan.
Pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat daripada tujuh syal dijangka naik kira-kira 800,000 pada bulan Mei kepada 8.46 juta tong sehari. – MalaysiaGazette